Perkasa elemen pentaksiran tingkat pembelajaran bermakna murid

Estimate Reading Time: 3 minutes

APABILA Mesyuarat Jemaah Menteri pada 28 April 2021 memutuskan memansuh Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai 2021 dan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 Jun 2022 memutuskan memansuhkan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) mulai 2022, pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) diputuskan untuk dilaksanakan di sekolah bermula sesi akademik 2022/2023.

Langkah kerajaan memansuhkan dua peperiksaan awam agak popular dalam kalangan guru dan murid itu selaras dengan hasrat melakukan transformasi kepada sistem pentaksiran negara iaitu berpindah daripada ‘pembelajaran berorientasikan peperiksaan’ kepada ‘pembelajaran berorientasikan perkembangan murid secara menyeluruh’.

Ia hadir dengan harapan pemerkasaan PBS dapat meningkatkan pembelajaran bermakna dalam kalangan murid iaitu murid faham apa yang diajar dan bukan hanya menghafal semata-mata. Murid turut mempunyai pemahaman mendalam mengenai idea kompleks serta mampu memanipulasi ilmu pengetahuan untuk digunakan dalam pelbagai situasi dan konteks.

Ini memerlukan proses pembelajaran menghubungkan maklumat baharu dengan ilmu pengetahuan sedia ada dan juga pembabitan aktif murid. Tiada lagi pembelajaran tradisional yang mana murid lebih memfokuskan kepada penghafalan semata-mata dalam meningkatkan prestasi akademik mereka.

Namun, sejauh mana guru memahami makna pentaksiran itu sendiri. Apalagi untuk merealisasikan hasrat kerajaan menjalankan proses pentaksiran sehingga terlaksananya pembelajaran bermakna kepada murid.

Pentaksiran adalah proses utama dalam pendidikan. Jika murid faham apa yang guru ajar, maka proses pentaksiran sepatutnya sudah tidak diperlukan lagi. Malah, guru mungkin hanya perlu menyimpan rekod pengajaran mereka. Itu sudah memadai.

Malangnya, ini tidak terjadi. Pentaksiran juga menjadi nadi kepada pengajaran berkesan kerana melaluinya, guru dapat mengenal pasti sejauh mana objektif pengajaran mereka tercapai. Maka, pentaksiran sepatutnya menjadi jambatan di antara pengajaran dan pembelajaran (PdP), bukannya tindakan ‘one-off’ dilaksanakan secara terpisah daripada PdP.

Pemerkasaan PBS membabitkan penambahbaikan dalam pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

Pentaksiran bersepadu

PBD sepatutnya menjadi satu bentuk pentaksiran bersepadu dengan memfokuskan kepada pentaksiran keseluruhan aktiviti kerja dan bukannya elemen khusus semata-mata. Ia juga memberi peluang guru mencungkil pelbagai potensi murid.

PBD terdiri daripada dua bentuk pentaksiran, iaitu pentaksiran formatif dan sumatif. Matlamat utama guru apabila melaksanakan pentaksiran formatif adalah untuk meningkatkan pembelajaran murid. Ini perkara utama guru harus faham.

Kemudian, disusuli dengan persoalan mengapa peningkatan pembelajaran murid itu penting, apa yang harus guru lakukan dan akhirnya, bagaimana cara untuk guru melaksanakan pentaksiran sehingga mencapai matlamat.

Justeru, prestasi pembelajaran murid mesti ditingkatkan. Ini mudah untuk difahami kerana dengan meningkatkan prestasi pembelajaran murid, maka akan bertambah peluang mereka mendapatkan pekerjaan lebih baik, kehidupan lebih bermakna dan kualiti kehidupan lebih cemerlang.

Seterusnya, dengan meningkatnya tahap pendidikan di sesebuah negara, secara langsung akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Apabila pentaksiran murid dilakukan secara formatif, guru mesti mendapatkan ‘bukti’ pembelajaran murid supaya guru dapat menyesuaikan pengajaran beliau dalam memenuhi keperluan murid. Maka, pentaksiran mesti dilihat sebagai medium untuk mengubah suai teknik pengajaran supaya sesuai dengan murid.

Kadang-kadang, apa yang berlaku ialah ‘bukti’ terbiar tidak dipeduli dan guru pula langsung tidak mengubah suai teknik pengajaran dalam memenuhi kehendak murid. Akibatnya, sukar untuk semua murid mendapatkan pembelajaran bermakna seperti dihasratkan Kementerian Pendidikan (KPM).

Di antara strategi boleh digunakan dalam melaksanakan pentaksiran formatif ialah menjelaskan dan memberi pemahaman objektif pembelajaran serta kriteria kejayaan hendak dicapai kepada murid, mengadakan perbincangan berkesan, memberikan maklum balas konstruktif sehingga murid tahu cara untuk membuat penambahbaikan dan membuatkan murid berfikir.

Ia termasuk mengaktifkan murid sebagai sumber pengajaran untuk rakan mereka serta mampu membuat refleksi untuk menambah baik pembelajarannya sendiri. Guru boleh memilih mana-mana strategi dirasakan sesuai dengan konteks bilik darjah mereka.

Strategi berpandukan konsep asas

Pelbagai teknik boleh dipilih untuk setiap strategi dinyatakan. Namun, harus diingat strategi ini mestilah tidak lari daripada beberapa konsep asas. Teknik pentaksiran mestilah berasaskan kepada pendekatan pembelajaran mendalam dan bukan luaran, relevan dengan amalan pengajaran seharian, sesuai dilaksanakan dan sesuai dengan konteks pendidikan.

Secara kesimpulannya, bolehlah dirumuskan untuk memperkasakan PBD ialah dengan memperkasakan kedua-dua elemen terbabit iaitu pentaksiran formatif dan sumatif. Tidak ada gunanya untuk pegawai pendidikan terus berdebat berkait pentaksiran mana lebih penting kerana kedua-duanya memang diperlukan bergantung kepada fungsi pentaksiran itu.

Kadangkala, pentaksiran formatif dilihat lebih berperanan dalam meningkatkan pembelajaran kerana adanya penambahbaikan daripada masa ke semasa dengan bimbingan guru. Banyak kajian lalu dijalankan membuktikan bagaimana pentaksiran formatif berkesan meningkatkan pencapaian murid.

Kini, sudah tiba masanya untuk guru bersungguh-sungguh menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam mentaksir murid secara formatif dengan efektif dan bukan sembrono sekiranya ingin berlaku peningkatan dalam pembelajaran bermakna murid.

Justeru, program memperkasa latihan guru perlu dilaksanakan juga dengan memfokuskan kepada apa yang dilaksanakan guru ketika mentaksir murid dan pengubahsuaian dibuat serta memantapkan ujian akhir sesi akademik.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373