Perkhidmatan bas perantara percuma ke Parlimen bermula hari ini

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 20 Feb 2023 (The Capital Post): Perkhidmatan bas pengantara percuma dari KL Sentral ke bangunan Parlimen disediakan bermula hari ini bagi mengatasi isu kekurangan tempat letak kereta dan kesesakan lalu lintas pada setiap hari ketika persidangan berlangsung.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata perkhidmatan bas yang terbuka kepada semua termasuk Ahli Parlimen dan pegawai bertugas serta pengamal media itu bermula pada 8 pagi hingga tamat persidangan setiap hari dengan kekerapan perjalanan 30 minit pada waktu puncak dan setiap sejam di waktu lain.

“Tujuan kita (sediakan perkhidmatan ini) ialah memastikan ada satu mod pengangkutan awam yang sampai terus ke Parlimen. Perjalanan lebih kurang 5 kilometer ini juga akan berhenti di Taman Botani kerana di situ ada tempat letak kereta dan petugas boleh Park and Ride,” katanya kepada pemberita di pekarangan bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menaiki bas berkenaan dari KL Sentral ke bangunan Parlimen.

Loke berkata kesesakan berlaku kerana hampir 2,000 kenderaan memasuki kompleks Parlimen setiap hari, tetapi hanya kira-kira 500 tempat letak kereta disediakan.

“Dengan bas ini, petugas juga dapat menjimatkan masa kerana bas akan berhenti di pos keselamatan untuk mereka mengambil pas. Bas ini tidak perlu beratur (di laluan pelawat) untuk masuk ke Parlimen,” katanya.

Menurutnya, dua bas disewa setiap hari dengan kos sewa RM800 sebuah dan ditanggung sepenuhnya Kementerian Pengangkutan.

– BERNAMA -BH

(The Capital Post)

Comments (0)
Add Comment