Pesanan daripada Perdana Menteri

Estimate Reading Time: 2 minutes

Setiap tahun pada 17 Mei, Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) disambut di seluruh dunia.

Sambutan tahun ini pula bertemakan “Accelerating Digital Transformation in challenging times” iaitu Memacu Transformasi Digital Semasa Waktu Mencabar.

Tema ini amat tepat memandangkan seluruh dunia masih bergelut dengan cabaran sosial dan ekonomi ekoran pandemik COVID-19. Sempena sambutan ini dan tema yang dipilih, wajar untuk kita menelusuri perkembangan Malaysia ke arah memacu digitalisasi serta memperbaharui keazaman kita untuk menjayakan transformasi ini di setiap peringkat melalui penglibatan semua rakyat, peningkatan sistem penyampaian kerajaan dan peralihan teknologi sektor industri.

Digitalisasi telah dikenal pasti sebagai landasan penting pembangunan negara dan masyarakat. Sejak dua dekad lalu, telah banyak perubahan berlaku dalam dunia digital dan fenomena kehidupan digital tidak lagi dapat dibendung.

Selain impak sosial dan alam sekitar, digitalisasi juga memberi kesan yang sangat besar kepada pembangunan ekonomi dan daya saing sesebuah negara.

Kerajaan membuat unjuran, sektor digital akan menyumbang RM500 bilion kepada ekonomi negara atau 20% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.

Semua usaha transformasi digital ini dirangkumkan dalam MyDigital yang dilancarkan pada 19 Februari 2021. MyDigital menyediakan haluan dan panduan kepada semua pihak iaitu kerajaan, industri dan rakyat untuk menggerakkan transformasi digital secara bersepadu.

Transformasi digital ini telah membuka ruang interaksi maya dan keterangkuman sosial yang lebih luas. Namun pada masa yang sama ia juga meningkatkan risiko ketidaksamaan bagi mereka yang tidak terhubung secara digital.

Realitinya, masih ada dalam kalangan masyarakat yang tersisih dan ketinggalan daripada arus digitalisasi di negara kita. Antaranya mereka yang tinggal di pedalaman, warga emas, ataupun mereka yang mempunyai literasi digital yang agak rendah.

Malaysia tidak boleh ketinggalan dan kerajaan telah merangka pelbagai perancangan strategik untuk membolehkan rakyat dan sektor ekonomi mendepani arus digitalisasi.

Bagi menangani cabaran jurang digital ini, kerajaan dengan kerjasama utuh di antara sektor awam dan swasta memfokuskan kepada TIGA STRATEGI UTAMA, iaitu akses, kemampuan kewangan dan kemahiran.

Di bawah usaha meningkatkan capaian, infrastruktur digital diperluas dan dimantapkan melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA). Penawaran teknologi 5G secara komersial pula diawalkan pada suku keempat tahun ini.

Untuk memperbaiki aspek mampu milik, kerajaan baru-baru ini telah melancarkan Program Jaringan Prihatin yang menyediakan subsidi langganan data internet dan pembelian peranti pintar kepada 8.4 juta golongan B40. Keprihatinan Kerajaan terhadap golongan B40 tidak terhenti setakat itu sahaja.

Aspek literasi digital juga giat dimajukan oleh pelbagai agensi antaranya melalui operasi 873 Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), latihan dan pembinaan platform e-dagang Warongku di bawah SME Corp dan banyak lagi.

Sempena WTISD 2021, saya menyeru setiap rakyat Malaysia, sama ada orang kampung, orang bandar, orang korporat atau orang kerajaan, untuk mula berfikir dan bingkas mencari peluang supaya sama-sama dapat melibatkan diri dalam agenda transformasi digital agar tidak ketinggalan.

Sama-sama kita berganding bahu mengurangkan jurang digital agar setiap masyarakat dapat menikmati arus digitalisasi yang seimbang.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
PERDANA MENTERI MALAYSIA

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373