Pesara guru berputih mata lesap lebih RM700,000 ditipu Macau Scam

Estimate Reading Time: < 1 minute

IPOH: Seorang pesara guru mendakwa kerugian kira-kira RM740,000 apabila wang simpanannya lesap selepas ditipu sindiket penipuan dalam talian atau Macau Scam, bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Perak Supt Hasbullah Abd Rahman berkata wanita berusia 77 tahun itu yang baru menyedari kehilangan sejumlah wang daripada akaun bank miliknya membuat laporan polis di Balai Sungai Senam di sini, Isnin lepas.

Katanya, wanita warga emas itu yang berasal dari bandar raya ini diperdaya melalui panggilan telefon awal bulan lepas mendakwa beliau mempunyai tunggakan bil telefon sebanyak RM1,500, tetapi menafikannya.

“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada pihak yang menyamar sebagai polis dan mengarahkan mangsa mengeluarkan atau memindahkan semua wang miliknya.

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengesan ke akaun bank mana mangsa memindahkan wang berkenaan kerana beliau tidak dapat mengingatinya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Hasbullah berkata pihak polis sedang menunggu kelulusan daripada Bank Negara untuk semakan dan siasatan lanjut manakala kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373