PETRONAS utama keselamatan tenaga, kerjasama rentas industri

Estimate Reading Time: 2 minutes

Kuala Lumpur: Syarikat minyak  dan gas nasional terkemuka, PETRONAS komited kepada sasaran jangka panjang (2024-2026) syarikat itu untuk terus mengekalkan dan mengembangkan pengeluaran minyak dan gas Malaysia.

Selaras dengan komitmen ini, ia memerlukan kerjasama bersama penyedia perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) merentasi aktiviti penerokaan, pembangunan, pengeluaran dan penyahtauliahan.

PETRONAS dalam kenyataan berkata, bagi memenuhi permintaan tenaga untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi, pihaknya menyedari hakikat bahawa tenaga perlu dihantar dengan cara yang berpatutan dan mampan.

“Namun, cabarannya terletak pada menghasilkan lebih banyak tong minyak pada kos dan pelepasan serendah mungkin.

“Justeru, dengan menggariskan aktiviti yang dijangkakan untuk tahun-tahun akan datang, cabaran dan peluang boleh membangunkan ekosistem OGSE yang lebih kukuh untuk mengharungi trilema tenaga bersama-sama,” katanya.

Katanya, untuk memaksimumkan kecekapan pengeluaran dan kemampanan bekalan minyak dan gas, dijangkakan purata kira-kira 300 pelan penambahbaikan kemudahan (FIP) akan dilaksanakan setiap tahun untuk tempoh tiga tahun akan datang.

“Ini termasuk projek peremajaan, aktiviti penukaran turbin gas dan penjana gas serta kerja penyelenggaraan utama lain yang penting dalam menghapuskan kesesakan, memaksimumkan kapasiti hab dan mengekang aktiviti pembakaran di kemudahan darat baharu.

“Aktiviti penyahtauliahan juga akan dijalankan bagi kira-kira 150 aset matang untuk memulihkan kawasan berkenaan kepada keadaan yang selamat dan stabil dari segi alam sekitar, manakala aset yang tidak digunakan akan dinilai untuk potensi digunakan semula,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, perniagaan hiliran yang semakin berkembang menjadi inisiatif tenaga lebih bersih, menerokai bahan api bio dengan pembangunan berterusan loji penapisan bio dan pemprosesan bersama yang akan dimulakan pada 2026.

“Di samping itu, pengembangan bunkering gas asli cecair (LNG) dan PETRONAS Iona, iaitu rangkaian khusus cecair automotif penyelesaian untuk kenderaan elektrik (EV) dan aplikasi pengurusan haba lain merentasi pelbagai sektor.

“Cabang petrokimia PETRONAS juga memasuki segmen pasaran bahan kimia khusus dan secara aktif memacu ekonomi kitaran melalui pembinaan kilang kitar semula kimia termaju terbesar di Asia yang menukar plastik akhir hayat kepada minyak pirolisis untuk digunakan sebagai bahan mentah kimia bagi plastik lestari,” katanya.

Lakar sempadan baharu OGSE

Sementara itu, Naib Presiden Perolehan Kumpulan PETRONAS, Freida Amat, berkata industri harus bersiap sedia kearah menyesuaikan diri dengan peralihan tenaga seperti beralih ke arah usaha rendah karbon, mengejar pelepasan sifar bersih dan meneroka sumber tenaga boleh diperbaharui.

“Menerusi pengalaman, pandangan dan pengetahuan merentas industri, PETRONAS percaya penciptaan bersama dapat meningkatkan kemahiran dan keupayaan yang akan melakarkan sempadan baharu untuk industri OGSE,” katanya.

Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) meletakkan asas untuk Malaysia terus maju dalam perjalanan transformasi itu dan PETRONAS akan terus memainkan peranan penting dalam menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

Untuk info lanjut mengenai Prospek Aktiviti PETRONAS, layari www.petronas.com.

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373