PKP: 10 lelaki main snuker dikompaun jumlah RM23,500

Estimate Reading Time: < 1 minute

ISKANDAR PUTERI: Sepuluh lelaki yang leka bermain snuker, termasuk seorang pekerja di sebuah premis disyaki menjalankan perniagaan itu tanpa lesen di Taman Bukit Indah, di sini, dikenakan kompaun berjumlah RM23,500, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata dalam serbuan jam 10.15 malam tadi, semua individu terbabit didapati mengingkari prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berkuat kuasa.

“Seramai 10 lelaki berusia 18 hingga 40 tahun yang sedang leka bermain snuker, termasuk seorang pekerja premis itu yang bertugas sebagai penyelia merangkap juruwang, ditahan dalam serbuan berkenaan.

“Kesemua mereka didapati tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal. Susulan itu, sembilan lelaki terbabit dikenakan kompaun RM1,500, manakala penyelia berkenaan pula dikompaun RM10,000.

“Mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 16(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2021),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dzulkhairi berkata, hasil semakan turut mendapati dua individu ditahan itu memiliki rekod jenayah lampau.

“Dalam serbuan itu, polis juga merampas dua set bola snuker (44 biji), empat batang kayu snuker, empat biji ‘choke’, satu unit kunci kawalan jauh dan wang tunai berjumlah RM275, sebagai bahan bukti,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Negeri Johor dan Peraturan 16(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2021).-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373