PKPB: Guru masih perlu hadir bertugas meski di luar kawasan, kata menteri pendidikan

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Guru atau pensyarah yang tinggal dalam kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) atau perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) tetapi berkhidmat di institusi luar kawasan yang diperintahkan masih perlu hadir bertugas.

Perkara berkenaan dinyatakan dalam soalan lazim (FAQ) dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia berhubung penutupan institusi pendidikan, berikutan PKPB atau PKPD dijalankan di beberapa lokasi ketika ini, termasuk di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah.

“Guru atau pensyarah perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran majikan untuk hadir bertugas,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman sesawang KPM.

Menjawab isu dibangkitkan siapa yang perlu hadir ke sekolah atau institusi pendidikan ketika ia ditutup, KPM berkata, pekerja perkhidmatan seperti pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan juga perlu hadir ke institusi berkenaan.

Katanya, ia termasuk warden dan pekerja dewan makan asrama sekiranya terdapat murid yang kekal tinggal di asrama.

Dalam pada itu, KPM berkata, dalam tempoh penutupan sekolah atau institusi, pentadbir sekolah perlu kekal melaksanakan pengurusan pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Dalam tempoh penutupan sekolah atau institusi ini, pentadbir akan memastikan guru atau pensyarah melaksanakan PdP di rumah mengikut kesesuaian guru atau pensyarah dan murid.

“Manual PdP di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi kementerian, www.moe.gov.my,” katanya.

Jelas KPM, ibu bapa atau penjaga yang berada di kawasan PKPB atau PKPD turut dibenarkan untuk mengambil anak atau anak jagaan di asrama sekolah atau institusi pendidikan.

“Ibu bapa atau penjaga dibenarkan untuk datang menjemput atau menguruskan perjalanan pulang anak atau anak jagaan mereka yang berada di asrama sekolah atau institusi pendidikan,” katanya.

Sebanyak 2,797 sekolah di Lembah Klang, Putrajaya dan Sabah, diarahkan tutup dalam tempoh PKPB dan PKPD. -FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373