PM buat lawatan rasmi singkat ke Indonesia

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Wisma Putra mengumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan mengadakan lawatan rasmi sehari ke Indonesia.

Ini lawatan rasmi pertamanya sejak menjadi perdana menteri pada Mac 2020.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, lawatan rasmi itu menyusul jemputan khas daripada Presiden Indonesia, Joko Widodo, serta atas dasar menghormati Indonesia sebagai rakan negara serumpun.

“Sebahagian perkara yang bakal dibincangkan melibatkan isu penting, termasuk kerjasama ekonomi, keselamatan serantau dan dua hala serta usaha menangani pandemik Covid-19 secara bersama.

“Oleh itu, pemimpin tertinggi kedua-dua negara bersetuju mengadakan perbincangan secara bersemuka serta, Indonesia sentiasa menjadi destinasi pertama lawatan rasmi perdana menteri Malaysia selepas dilantik.”

Wisma Putra berkata kunjungan Muhyiddin ini penting dalam usaha memperkukuhkan perancangan memerangi diskriminasi minyak sawit terhadap Malaysia dan Indonesia di peringkat antarabangsa secara bersama kerana kedua-dua negara merupakan pengeluar minyak sawit terbesar dunia.

“Ia juga memperkukuh kerjasama dalam memerangi isu alam sekitar, khususnya jerebu rentas sempadan, meningkatkan usaha sama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, termasuk membincangkan potensi keterlibatan syarikat Malaysia dalam usaha menjayakan rancangan Indonesia memindahkan ibu kota dari Jakarta ke Kalimantan Timur.

“Potensi keterlibatan Malaysia dalam projek ini berupaya membantu usaha pemulihan ekonomi serantau, terutama di era pasca pandemik. Bahkan, ia juga bertujuan meningkatkan rundingan melaksanakan skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) antara kedua-dua negara atas tujuan rasmi serta perniagaan.”

Katanya, kedua-dua negara turut akan berkongsi kaedah dan mendapat informasi hasil penggunaan vaksin Covid-19, khususnya oleh Indonesia yang sudah memulakan program vaksinasi kepada rakyatnya.

Memandangkan Covid-19 di kedua-dua negara masih berlarutan, Muhyiddin sendiri meminta lawatan rasmi ini diadakan secara singkat, iaitu kurang daripada 24 jam dan turut disambut baik kerajaan Indonesia.

Bahkan, Widodo yang juga dikenali sebagai Jokowi, sudah mengarahkan tempat acara rasmi di Istana Bogor, Jawa Barat dipindahkan ke Istana Merdeka di Jakarta atas sebab kepentingan logistik Muhyiddin.

“Menteri Luar Hishammuddin Hussein bersama beberapa pegawai kanan Kementerian Luar terlebih dahulu akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi sebelum lawatan rasmi perdana menteri bermula. Lawatan rasmi perdana menteri ke atas Widodo akan bermula pagi Jumaat.

“Selepas itu, Perdana Menteri bersama delegasi Malaysia akan terus pulang ke tanah air dan seterusnya menjalani kuarantin wajib seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan.”

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373