PM mahu peranan keluarga, sekolah, komuniti terus diperkukuh

Estimate Reading Time: 2 minutes

KOTA KINABALU: Tun Dr Mahathir Mohamad mahu peranan keluarga, sekolah dan masyarakat diperkukuh sejajar dengan perjuangan ke arah mencapai status negara maju.

Perdana Menteri menjelaskan ia hendaklah dilaksana menerusi penerapan nilai-nilai murni dan memupuk budaya kebangsaan, khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Ini juga selari dengan Islam sebagai ad-din. Setiap gerak-geri, perbuatan dan tindakan kita adalah tertakluk kepada nilai agama kita.

“Oleh demikian, janganlah kita ikuti perbuatan mahupun perkara lain yang bertentangan dengan al-Quran dan hadis sahih yang akan membawa kerosakan, seterusnya menghalang kita daripada mencapai kejayaan dan kemajuan,” katanya ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-63, Tahun 1441H/2020M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, sebentar tadi.

Sejumlah 28 qari dan qariah mengambil bahagian dalam tilawah bemula hari ini yang bertemakan ‘Negara Rahmah Ummah Sejahtera’. Tilawah itu akan berakhir Jumaat ini.

Dr Mahathir berkata, apabila kerajaan bertekad mahu menjadikan Malaysia sebuah negara maju, kerajaan sedar terdapat keraguan akan hala tuju negara pada masa hadapan.

“Ada yang risau apabila maju ia bermakna kita hilang keinsafan dan meminggirkan nilai dan seruan Islam tetapi jelas, kemajuan dan kemakmuran yang kita capai saling berkait dan ketika kita meraikan kepelbagaian bangsa dan agama di dalam negara.

“Syiar Islam berkembang pesat dan turut menjadi pemangkin kepada kemajuan yang tercapai. Perseimbangan ini dicapai dan kekalkan jika kita berpegang dan melalui hidup kita seharian dengan berpegang kepada asas Islam iaitu ad-din, satu cara hidup,” katanya.

Seiring dengan falsafah itu, Dr Mahathir berkata, pada 25 Oktober tahun lalu, kerajaan bersetuju supaya gagasan RAHMAH dijadikan sebagai dasar pentadbiran Islam Model Malaysia, berteraskan Maqasid Syariah dan Rahmatan Lil ‘Alamin yang bersifat universal, inklusif, telus dan i, bertepatan dengan suasana, adat serta budaya bangsa Malaysia sendiri.

“Kerajaan percaya dasar ini mampu memberi impak positif kepada rakyat dan negara dalam meningkatkan kesejahteraan sosial, kemakmuran dan perpaduan hidup masyarakat berbilang kaum dan agama. Ia selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan oleh kerajaan,” katanya.

Selain itu, Dr Mahathir turut menyentuh arus revolusi perindustrian 4.0 di mana semua sedia maklum dunia hari ini menyaksikan arus Revolusi Perindustrian 4.0 yang begitu cepat dan kuat cabarannya.

“Kita mesti lebih berinovatif, kreatif dan terus memperkasa diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran tinggi, daya saing dan jati diri, dalam membangun dan memajukan bangsa Malaysia mengikut acuan kita sendiri. Ini adalah negara kita. Kitalah yang akan menentukan nasib kita. Tidak ada orang lain yang boleh mencorakkan masa hadapan kita melainkan diri kita sendiri, dengan izin Allah SWT,” katanya.

Beliau juga berkata negara memerlukan rakyat yang matang, berilmu, bekerja keras dan mementing perpaduan.

Oleh itu, beliau mengajak rakyat bersama bersatu padu untuk terus membina negara yang maju lagi makmur, untuk Malaysia yang lebih berdaya saing, bersih dan berintegriti. -Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373