PM Muhyiddin mahu hubungan KL-Jakarta komprehensif, strategik

Estimate Reading Time: < 1 minute

JAKARTA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu hubungan kerjasama Kuala Lumpur-Jakarta dipertingkatkan ke peringkat yang strategik dan komprehensif.

Beliau yakin peningkatan hubungan dua hala itu akan membolehkan kedua-dua negara mengoptimumkan kerjasama yang sudah terjalin terutamanya dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan.

“Hasil daripada perbincangan kami pada hari ini, saya berpendapat sudah sampai masanya bagi hubungan kerjasama Malaysia dan Indonesia dipertingkatkan lagi ke peringkat yang strategik dan komprehensif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama dengan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) selepas kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan empat mata di Istana Merdeka di sini, hari ini.

Muhyiddin yang dalam rangka lawatan rasmi ke negara ini berkata pengukuhan kerjasama tersebut mencerminkan tekad kedua-dua pemimpin serumpun itu untuk berganding bahu demi menjaga kemakmuran bersama.

“Sehubungan ini, kami telah memberi mandat kepada kedua-dua Menteri Luar untuk mengenal pasti bidang-bidang strategik yang boleh diberi keutamaan,” kata perdana menteri.

Beliau berpuas hati terhadap hubungan dua hala yang bertambah kukuh di setiap peringkat.

Usaha juga akan dipergiatkan untuk merangsang semula perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara dalam tempoh pandemik COVID-19, katanya.

“Perbincangan awal telah pun dimulakan di peringkat kerja. Saya berharap kedua-dua pihak akan dapat menggiatkan lagi rundingan bagi memperincikan prosedur operasi standard (SOP) untuk pelaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL).

Dalam pada itu, Malaysia dan Indonesia bersetuju supaya satu mesyuarat khas ASEAN diadakan bagi membincangkan keadaan politik semasa di Myanmar dengan lebih mendalam.

Muhyiddin berkata, justeru, kedua-dua Menteri Luar Negara diberi mandat untuk mencari kesepakatan melalui mesyuarat khas itu nanti.

Katanya, seperti Indonesia, Malaysia juga memandang serius akan keadaan politik semasa di Myanmar yang dilihat sebagai satu langkah ke belakang dalam proses demokrasi di negara itu.

“Adalah dikhuatiri pergolakan politik di Myanmar boleh menjejaskan keamanan dan kestabilan di rantau ini,” katanya.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373