PM telah mengumumkan pakej rangsangan prihatin rakyat sebanyak RM250 bilion

Estimate Reading Time: 3 minutes

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat sebanyak RM250 bilion untuk menangani impak pandemik Covid-19, lebih lebih 10 kali ganda daripada RM20 bilion yang diumumkan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad pada bulan lalu.

Ia terdiri daripada RM128 bilion untuk kebajikan rakyat, RM100 bilion bagi menyokong perniagaan dan RM2 bilion untuk memperkukuhkan ekonomi, selain RM20 bilion dalam pakej terdahulu.

“Seperti yang saya katakan, tiada orang akan tercicir,” katanya dalam siaran langsung di televisyen hari ini.

Muhyiddin berkata, tambahan RM1 bilion akan diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan, selain RM500 juta yang diumumkan sebelum ini, dengan bantuan akan diperolehi daripada hospital swasta.

Beliau berkata, elaun khas untuk doktor, jururawat dan petugas kesihatan dinaikkan daripada RM400 kepada RM600 sebulan mulai 1 Apr ini sehingga pandemik itu berakhir.

Katanya, elaun khas RM200 untuk anggota polis, tentera, imigresen dan Rela yang terbabit dalam barisan depan akan diteruskan.

Peruntukan lain termasuk:

  • RM250 sebulan bagi anggota kastam, imigresen dan Rela yang terbabit dalam perintah kawalan pergerakan (PKP) mulai 1 Apr ini.
  • Bayaran “one-off” bagi golongan M40, petani, peniaga kecil, peneroka Felda dan nelayan berjumlah RM10 bilion.
  • RM1,600 untuk 4 juta isi rumah berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah dengan RM1,000 dibayar pada April dan RM600 pada Mei.
  • RM800 untuk 3 juta rakyat berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapat RM2,000 dan ke bawah, dengan RM500 dibayar bulan depan dan RM300 pada Mei.
  • RM1,000 untuk 1.1 juta isi rumah berpendapatan bulanan RM4,000 hingga RM8,000, dengan RM500 dibayar bulan depan dan bakinya pada Mei.
  • RM500 untuk 400,000 orang bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan bulanan RM2,000 hingga RM4,000, dengan RM250 dibayar bulan depan dan RM250 lagi pada Mei.
  • Bayaran “one-off” RM200 pada Mei untuk pelajar institusi pengajian tinggi.
  • Internet percuma kepada semua pelanggan dengan nilai RM600 juta mulai 1 Apr sehingga PKP tamat.
  • RM25 juta untuk makanan dan tempat perlindungan bagi warga emas, orang kelainan upaya dan Orang Asli, dengan kerjasama bersama NGO.
  • Moratorium selama 6 bulan untuk bayaran balik pinjaman PTPTN dan PTPK.
  • Pengecualian sewa selama 6 bulan bagi penduduk PPR.
  • Pesakit di bawah skim MySalam boleh menuntut RM50 sehari selama 14 hari. Ini juga diberikan kepada mereka yang dikuarantinkan kerana Covid-19.
  • Golongan B40 di bandar dikecualikan membayar sewa selama 6 bulan. Jumlah keseluruhan RM3 juta akan ditanggung kerajaan.
  • Pengecualian sewa bagi premis milik kerajaan seperti kantin sekolah, taska, kafetaria dan kedai serbaneka selama 6 bulan mulai April.
  • RM600 sebulan selama 3 bulan bagi pekerja berpendapatan di bawah RM4,000.
  • Majikan tidak dibenarkan memotong gaji pekerja yang berpendapatan tidak lebih RM4,000 sebulan. Ini akan memanfaatkan 3.3 juta pekerja melalui peruntukan sebanyak RM5.9 bilion.
  • Bayaran “one-off” RM500 kepada 120,000 pemandu e-hailing yang berjumlah RM60 juta.
  • RM110 juta untuk membayar gaji lebih 80,000 pekerja kontrak dalam perkhidmatan pembersihan dan katering di sekolah, universiti dan institut latihan awam serta agensi kerajaan lain. Kerajaan bersetuju melanjutkan kontrak mereka sebulan lagi sebagai ganti kepada PKP.
  • Dana khas RM8 juta diwujudkan untuk industri insurans dan takaful bagi menanggung kos ujian saringan kesihatan oleh pemegang polisi dan takaful perubatan di hospital swasta serta makmal berharga RM300 setiap seorang.
  • Putrajaya dan Tenaga Nasional Bhd akan memperuntukkan tambahan RM530 juta bagi diskaun bil elektrik. Penggunaan di bawah 200 kilowatt layak mendapat diskaun 50%, 25% bagi penggunaan 201 hingga 300 kilowatt dan 15% untuk penggunaan 301 hingga 600 kilowatt. 2% potongan bagi isi rumah diteruskan.
  • Pesara kerajaan menerima bantuan tunai “one-off” RM500.
  • Bantuan “one-off” RM500 untuk penjawat awam gred 56 dan ke bawah, termasuk pekerja kontrak.
  • RM1 bilion diperuntukkan kepada Dana Jaminan Makanan.
  • KWSP akan menyediakan khidmat rundingan bagi majikan mulai 15 Apr. Ini termasuk pilihan untuk penangguhan, penstrukturan semula atau penjadualan semula caruman majikan. Ini akan menjimatkan aliran tunai RM10 bilion bagi majikan dan memanfaatkan 480,000 PKS serta syarikat, dan mengekalkan lebih 8 juta pekerjaan.
  • Mengecualikan bayaran levi Tabung HRDF bagi semua sektor selama 6 bulan mulai April.
  • Jumlah pembiayaan di bawah Skim Kredit Mikro dinaikkan daripada maksimum RM50,000 kepada RM75,000 bagi setiap usahawan.  – FMT
Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373