PM terima dos kedua suntikan vaksin COVID-19

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini yang melengkapkan dos suntikan vaksin COVID-19, hari ini.

Perdana Menteri menerima suntikan dos kedua vaksin jenis Pfizer-BioNTech pada jam 3.16 petang di Klinik Kesihatan (KK) Putrajaya, Presint 18, Putrajaya.

Suntikan kedua itu diterima Perdana Menteri genap 21 hari selepas menerima suntikan dos pertama di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya, Presint 18, pada 24 Februari lalu, seperti yang disyaratkan bagi penggunaan vaksin jenis itu.

Perdana Menteri adalah individu pertama menerima vaksin COVID-19 di negara ini, sekali gus menandakan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di seluruh negara.

Selepas menerima suntikan, Muhyiddin dibawa ke ruang pemerhatian bagi pemantauan kesan sampingan selama 30 minit oleh petugas kesihatan.

Turut berada di KK berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Selain Perdana Menteri, Dr Noor Hisham turut menerima suntikan dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech hari ini bersama empat lagi petugas Kementerian Kesihatan, yang menerima suntikan dos pertama pada 24 Februari lalu.

Mereka ialah Pegawai Perubatan KK Putrajaya Presint 9, Dr Tan Yee Ling; jururawat KK Putrajaya, Presint 9, Sheilla Mellissa Sikin; Penolong Pegawai Perubatan PKD Putrajaya, Khairul Asraf Mohd Yasin dan pemandu ambulans PKD Putrajaya, Clement Marai Francis.

Malaysia kini berada dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dilancarkan pada 24 Februari dan menyasarkan untuk memvaksin kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan, antara hujung Februari lalu hingga April depan.

Fasa 2 imunisasi yang membabitkan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac, dijadualkan bermula April hingga Ogos depan bagi kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.

Fasa 3 dijadual bermula pada Mei hingga Februari tahun depan dan disasarkan untuk sekitar 13.7 juta penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas, sama ada rakyat tempatan atau warga asing. -BERITA HARIAN

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373