PN serah nama calon minggu depan

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU: Perikatan Nasional (PN) akan menyerahkan senarai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram kepada kepemimpinan Pusat gabungan itu, minggu depan.

Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata keputusan itu diambil dalam mesyuarat pertama persediaan PRK yang diadakan gabungan itu petang semalam.

Katanya, parti gabungan itu membabitkan BERSATU, PAS dan GERAKAN turut diarahkan menyenaraikan tiga nama calon setiap parti bagi dicadangkan kepada kepemimpinan tertinggi PN.

“PN Johor mengadakan mesyuarat pertama persediaan PRK Pulai dan DUN Simpang Jeram petang semalam, sejurus selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penting pilihan raya itu.

“Antara perkara utama dibincangkan semalam adalah mengenai calon yang bakal diturunkan di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dengan setiap ahli gabungan diminta menyenaraikan tiga calon setiap parti.

“Nama sembilan calon berkenaan akan dibentangkan semula pada mesyuarat PN Johor minggu depan, sebelum ia dimuktamadkan dan dihantar kepada kepimpinan Pusat bagi penilaian pada minggu hadapan juga.

“PN Pusat dijangka akan bermesyuarat mengenai PRK Pulai dan DUN Simpang Jeram selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) selesai nanti bagi menentukan calon terbaik untuk diturunkan parti,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, SPR dilaporkan menetapkan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 9 September ini dengan 26 Ogos sebagai hari penamaan calon.

Kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram itu susulan pemergian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddian Ayub, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 23 Julai lalu.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373