Polis cari kumpulan lelaki belasah pemandu lori kontena yang terbabit nahas maut

Estimate Reading Time: < 1 minute

KLANG: Polis sedang mengesan beberapa lelaki yang memukul pemandu lori kontena, selepas terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan seorang budak perempuan berusia sembilan tahun terbunuh dekat Kampung Telok Gong di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata satu laporan diterima daripada pemandu lori kontena berusia 36 tahun itu, mendakwa dipukul beberapa lelaki sehingga cedera.

Katanya, siasatan polis mendapati dalam kejadian jam 11.30 pagi semalam, pengadu sedang memandu lori kontena dengan peralatan membuat paip di Jalan Telok Gong dan ketika melalui simpang Jalan Bawal, Telok Gong, secara tiba-tiba sebuah motosikal keluar dari persimpangan jalan berkenaan.

“Penunggang motosikal bersama dua pembonceng iaitu kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dan kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan raya sehingga kanak-kanak perempuan tergilis tayar belakang lori dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Setelah kemalangan berlaku, sekumpulan lelaki kemudian berkumpul di lokasi kejadian dan memukul pemandu lori kontena dan memecahkan cermin hadapan kenderaan itu.

“Akibat daripada itu, pemandu lori kontena mengalami kecederaan luka di pipi kanan, lebam mata, sakit di seluruh anggota badan dan sudah menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR),” katanya dalam kenyataan hari ini. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373