Polis tahan wanita izin akaun bank diguna sindiket penipuan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita semalam, kerana disyaki memberi maklumat akaun bank miliknya kepada sindiket penipuan pinjaman wang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata tangkapan dibuat terhadap suspek ‘keldai akaun bank’ berusia 27 tahun itu susulan laporan dibuat seorang lelaki mendakwa kerugian RM25,760 akibat diperdaya sindiket berkenaan.

Katanya, lelaki berusia 36 tahun dan bekerja sebagai jurujual mendakwa melihat iklan pinjaman wang peribadi menerusi Facebook ketika berada di pejabat dekat Seksyen 51, Petaling Jaya, pada 7 September tahun lalu.

“Mangsa meninggalkan nombor telefonnya di ruangan komen Facebook itu. Pada hari sama, lelaki terbabit menerima mesej WhatsApp daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai Ryan Tan.

“Mangsa memberitahu berminat membuat pinjaman sebanyak RM50,000 dan diminta membuat bayaran terlebih dulu sebelum wang pinjaman diberikan. “Mangsa memasukkan wang secara berperingkat ke dalam empat akaun bank berlainan berjumlah RM25,760 sepanjang bulan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Mohamad Fakhrudin berkata, suspek diberi jaminan polis selepas dirakam keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis mendapati individu sedang mencari kerja, tiada kerja tetap, penagih dadah, penuntut kolej, orang kelainan upaya (OKU) dan suri rumah antara golongan dikesan menjadi mangsa keldai akaun bank.

“Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dengan kaedah penipuan kewangan dan jangan sesekali berkongsi maklumat perbankan peribadi kepada sesiapa,” katanya.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373