PRN2023: MUDA mahu jadi blok ketiga, alternatif kepada pengundi

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menegaskan penyertaan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sebagai blok ketiga parti politik yang menjadi alternatif pilihan selain Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Setiausahanya, Amir Hariri Abdul Hadi berkata, MUDA memberikan tawaran politik baharu di samping dua gergasi politik yang ada ketika ini.

Justeru, katanya, penyertaan dalam PRN adalah satu pilihan baharu kepada pengundi selepas mereka merasai pentadbiran BN diikuti Pakatan Rakyat (PR) yang kemudiannya menjadi kerajaan PN-BN dan kini di bawah pemerintahan PH-BN.

“Penyertaan MUDA secara solo juga kerana kita merasakan pengundi kita semakin matang selepas mereka melalui zaman BN mentadbir yang panjang dan melalui zaman PR kemudiannya PN-BN dan kini era PH-BN

“MUDA sertai PRN kerana mahu membawa pembaharuan dalam perjuangan untuk mengangkat suara rakyat,” katanya kepada BH.

Kelmarin, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan parti itu akan bertanding secara ‘solo’ pada pilihan raya negeri (PRN) di semua enam negeri.

Beliau berkata, keputusan itu dicapai secara konsensus dalam kalangan kepimpinan dan ahli parti, selepas mengadakan perbincangan bersama dengan masyarakat dan badan bukan kerajaan, mengenai hala tuju parti.

Amir Hariri menjelaskan penyertaan MUDA secara solo dalam PRN bukan satu yang pelik walaupun parti itu kini sebahagian daripada parti yang menyokong Kerajaan Perpaduan.

Katanya, sudah ada kes yang terdahulu yang mana parti dalam kerajaan yang sama bertanding berasingan atau bersendirian seperti yang berlaku dalam PRN di Johor dan Melaka apabila PN bertanding rakan mereka BN ketika itu.

“Kita percaya pengundi juga matang dalam membuat keputusan siapa yang menjadi pilihan mereka, jadi MUDA meletakkan kepercayaan itu tambahan pula rakyat perlukan alternatif baru

“MUDA adalah alternatif baharu yang akan bertanding menentang dua gergasi politik yang ada kini, menang atau kalah itu ditentukan pengundi, kalau menang sudah tentu bonus untuk kami dan jika kalah, kita akan membuat penambahan baik,” katanya

Namun, Amir Hariri enggan mendedahkan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal parti itu bertanding.

“Kerusi mana yang akan kami bertanding itu akan diumumkan secara berkala dan ini adalah strategi kita dalam PRN kali ini,” katanya.

Bagaimanapun katanya MUDA tidak akan bertanding di semua 245 kerusi DUN yang bakal dipertandingkan nanti.

“Ini ada kaitan dengan faktor kewangan, tapi kami akan cuba bertanding untuk memberikan saingan kepada dua parti gergasi sedia ada itu,” katanya.

Ditanya sama ada mereka akan bertanding di kawasan yang mempunyai majoriti pengundi muda, katanya faktor itu bukan hanya penentu untuk meletakkan calon di satu-satu kawasan.

“Faktor pengundi muda adalah antara kriteria yang kita fikirkan tapi ada perkara lain yang turut dipertimbangkan bukan hanya faktor umur.

“Untuk meletakkan calon, ada banyak faktor yang kita timbangkan bukan hanya demografi pengundi saja, mungkin juga kita lihat calon lawan dan kekuatan parti di satu-satu kawasan,” katanya.

Mengulas mengenai isu yang bakal dibangkitkan dalam PRN kali ini, beliau menegaskan sesuai dengan isu perjuangan MUDA, maka kali ini parti itu akan membawa slogan politik baru.

“Bagi PRN kali ini kita mahu tawarkan politik harapan baru yang mana MUDA terus konsisten memperjuang agenda reformasi institusi termasuk isu kapal tempur persisir, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

“MUDA mahu memperjuangkan manifesto PRU15 yang lalu, kerana kami konsisten dengan pendirian yang sudah dibuat dan membawa tenaga baru dan pilihan baru kepada rakyat,” katanya.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373