Projek KKM tawar banyak peluang kepada MyEG, kata CGS-CIMB

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 12 Okt — Pelantikan My EG Services Bhd (MyEG) sebagai penyedia perkhidmatan saringan ujian COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM) akan memberi banyak peluang pengewangan, menurut CGS-CIMB Research.

Penganalisis firma penyelidikan itu, Mohd Shanaz Noor Azam berkata terdapat tiga peluang pengewangan daripada projek itu, iaitu bayaran saringan ujian COVID-19, daripada RM30 hingga RM150 untuk rakyat Malaysia dan RM60 hingga RM250 untuk warga asing, bergantung kepada jenis ujian pengesanan COVID-19.

Kedua, bayaran perkhidmatan untuk kuarantin wajib di kemudahan persendirian dan ketiga, perkhidmatan “meet and greet” untuk membantu pelancong sepanjang proses tersebut.

“Kami memahami bahawa saringan ujian COVID-19 akan dilakukan dua kali, sekali semasa ketibaan dan sekali lagi pada hari ke-14 selepas ketibaan,” katanya dalam nota penyelidikan.

Pada 8 Okt, MyEG menerima surat lantikan daripada KKM untuk projek sistem pembayaran dalam talian yang akan membolehkan pelancong mendaftar dan membuat pembayaran semasa ketibaan untuk ujian saringan COVID-19 dan caj kuarantin di semua pintu masuk.

Penganalisis itu berkata projek tersebut untuk memudahkan langkah-langkah kerajaan mengawal penularan COVID-19 dengan meningkatkan dan mempercepatkan proses pentadbiran saringan COVID-19 dan menetapkan lokasi kuarantin untuk pelancong.

Tempoh projek itu dari November 2020 hingga Oktober 2022.

Mohd Shanaz berkata data trafik penumpang terkini yang dikeluarkan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd menunjukkan seramai 85,000 pelancong antarabangsa pada Ogos 2020.

“Mengandaikan campuran 50-50 antara penumpang yang tiba dan berlepas, kami menganggarkan purata sebanyak 1,300 ketibaan antarabangsa sehari dan kami melihat ruang untuk permintaan saringan ujian COVID-19 yang lebih tinggi dengan potensi pemulihan dalam ketibaan pelancong sebanyak 10 juta pada 2020 kepada 18.6 juta pada 2021 dan 39.9 juta pada 2022,” katanya.

CGS-CIMB mengekalkan saranan tambahan ke atas MyEG, dengan sasaran harga tidak berubah sebanyak RM1.96.- BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373