Raja Permaisuri Agong hadir majlis penutup Persidangan OB-PS Malaysia 2023

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, hari ini, berkenan menghadiri majlis penutup Persidangan Olave Baden-Powell Society (OB-PS) Malaysia 2023 di sini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada jam 9.30 pagi diiringi oleh Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan.

Baginda adalah Royal Benefactor dan pengerusi penganjur persidangan itu, serta penaung Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM).

Dalam titah Tunku Azizah, baginda merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan terhadap kerja keras timbalan pengerusi penganjur Datuk Seri Anne Eu dalam mengendalikan persidangan itu dengan jayanya.

Seri Paduka Baginda turut mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS) yang telah banyak mendidik baginda menguasai pelbagai kemahiran penting, disiplin serta rasa tanggungjawab terhadap masyarakat selama ini.

“Terima kasih tidak terhingga kepada WAGGGS terhadap tahun-tahun saya bersama anda. Saya sering beritahu semua, betapa keperibadian saya hari ini adalah dibentuk oleh pergerakan Pandu Puteri.

“Terima kasih terhadap disiplin, tunjuk ajar, didikan mengenai kepimpinan hari esok, dan memupuk keupayaan bagi menyuarakan aspirasi wanita muda kita,” titah baginda.

Tunku Azizah juga dijangka menghadiri sambutan ulang tahun ke-40 OB-PS’ di Copenhagen, Denmark yang dijadualkan pada Ogos tahun depan.

OB-PS menyokong Misi WAGGGS dengan memupuk kecemerlangan dalam kepemimpinan masa depan wanita muda yang akan memimpin keluarga, komuniti, negara dan dunia mereka.

Persidangan OB-PS adalah acara tahunan bagi menghimpunkan ahli-ahlinya yang mempunyai kepentingan bersama untuk memberikan sokongan kewangan kepada WAGGGS dan memastikan aliran pendapatan yang stabil bagi membiayai kerja-kerja, projek, program dan perkhidmatannya.

Persidangan tahun ini yang diadakan buat pertama kali di Malaysia sejak 1998, dengan tujuan meraikan dan menyokong WAGGGS, di samping membincangkan pertumbuhan dan perkembangan wanita muda serta memperkasakan mereka untuk menjadi pemimpin dunia masa depan.

Persidangan empat hari itu mengumpulkan lebih 360 peserta dari 17 negara termasuk United Kingdom, Australia, Amerika Syarikat, Nigeria, Korea dan Jepun.

– BERNAMA

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373