Ramai setuju syor KKM wajibkan pemakaian semula pelitup muka di sekolah

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Sebanyak 63.6 peratus bersetuju untuk kerajaan mewajibkan semula pemakaian pelitup muka di sekolah susulan penularan varian Arcturus di negara ini.

Dalam tinjauan pendapat yang dilakukan di laman Twitter BH mendapati sebanyak 30.3 peratus pula mengundi supaya kerajaan memberi pilihan kepada masyarakat sama ada untuk memakai atau tidak pelitup muka berkenaan ketika di sekolah.

Baki 6.1 peratus pula tidak bersetuju sekiranya Kementerian Kesihatan (KKM) syorkan pemakaian semula pelitup muka di pusat pendidikan.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan pihaknya akan mengesyorkan pemakaian pelitup muka dilaksanakan semula di semua sekolah berikutan terdapat kebimbangan peningkatan kes COVID-19 varian baharu itu di negara ini.

Susulan itu, Dr Zaliha akan mengadakan pertemuan segera dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bagi membincangkan berkaitan hal berkenaan.

Malah, prosedur operasi standard (SOP) membabitkan murid dan pelajar juga akan dikeluarkan sebelum sesi persekolahan bermula pada 2 Mei ini.

Isnin lalu, Dr Zaliha mendedahkan terdapat enam lagi kes varian baharu COVID-19 iaitu XBB1.16 atau Arcturus dikesan di Lembah Klang, menjadikan jumlah kes dijangkiti meningkat kepada 12 setakat ini.

Daripada jumlah itu, empat kes baharu bagi varian itu dikesan di Selangor, manakala dua lagi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, selain enam kes awal di Sarawak.

Bagaimanapun, katanya, individu yang dijangkiti Arcturus yang juga subvarian kepada Omicron itu didapati hanya mengalami gejala ringan dan dilaporkan stabil. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373