Remaja 15 tahun antara dua maut dalam kemalangan

Estimate Reading Time: < 1 minute

ALOR SETAR: Dua lelaki maut termasuk seorang remaja 15 tahun selepas motosikal yang ditunggangi mereka dilanggar sebuah kereta Proton Saga dari arah bertentangan berhampiran stesen minyak Batu 6, Simpang Empat, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.05 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal Honda EX-5, Muhamad Amirul Abdul Majid, 24, dan pemboncengnya, Muhammad Luthfan Asri, 15, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialami.

Kedua-dua mangsa menetap di Kampung Raja, Simpang Empat, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner, Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata hasil siasatan awal mendapati, motosikal itu dipercayai dari arah Alor Setar ke arah Simpang Empat manakala kereta terbabit dari arah bertentangan Simpang Empat ke arah Alor Setar.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika motosikal berkenaan bergerak lurus di laluan mereka manakala kereta Proton Saga yang dinaiki tiga individu termasuk seorang wanita itu dipercayai datang dari arah bertentangan.

“Bagaimanapun, kereta yang dipandu Muhammad Aniq Shafiq Anuar, 20, itu dipercayai hilang kawalan masuk ke hadapan laluan motosikal berkenaan nenyebabkan berlaku perlanggaran hadapan di hadapan antara kedua-dua kenderaan.

“Akibat perlanggaran itu, penunggang dan pembonceng motosikal itu meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Shukri berkata, Muhammad Aniq Syafiq yang juga pelajar dan menetap di Kampung Bukit Lerek, Jalan Kuala Nerang itu mengalami kecederaan di mata, muka dan luka di tangan.

Dua penumpang dalam kereta itu, Muhammad Faizal Mohamad Na’in, 20, berasal dari Pendang dan Rosfaizureen Roslan, 18, dari Alor Setar masing-masing turut mengalami cedera ringan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan kenderaan itu ditahan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373