Reman suspek terbabit kes bunuh pemandu teksi dilanjut 7 hari lagi

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA TERENGGANU: Tempoh reman terhadap suspek dipercayai terbabit dalam kes kematian seorang pemandu teksi pada minggu lalu disambung tujuh hari lagi bermula esok hingga 24 Ogos ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din, berkata, tempoh tahanan reman suspek berusia 29 tahun itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini pagi tadi.

Beliau berkata, suspek yang turut mengalami kecederaan dalam kejadian itu menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebelum dibenarkan keluar beberapa hari lalu.

“Tempoh tahanan reman suspek tamat hari ini dan kita terus memohon lanjutan perintah reman daripada mahkamah bagi meneruskan siasatan.

“Susulan itu, mahkamah kemudian membenarkan tempoh lanjutan reman suspek tujuh hari lagi sehingga 24 Ogos ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Suspek terbabit direman tujuh hari sejak Jumaat lalu dan berakhir hari ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan kecederaan di bahagian belakang badan dalam kejadian berhampiran Klinik Kesihatan Seberang Takir Kuala Nerus, Khamis lalu.

Mangsa berusia 51 tahun itu ditemui di tempat duduk belakang dalam sebuah teksi dengan keadaan berlumuran darah.

– Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373