Ringgit dibuka rendah susulan aktiviti pengambilan untung

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 2 Okt — Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini susulan aktiviti pengambilan untung selepas mencatatkan kenaikan pada tiga hari berturut-turut sebelum ini.

Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.1560/1610 berbanding dolar AS daripada 4.1470/1520 ketika ditutup semalam.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, AxiCorp, Stephen Innes berkata berikutan harga minyak mentah lemah semasa dagangan dalam tempoh semalaman, ringgit dijangka berada pada kedudukan lebih defensif.

Beliau berkata mudah tunai yang berkurangan, memandangkan China meraikan Minggu Emas, turut mempengaruhi prestasi ringgit.

Harga minyak mentah susut tiga peratus dalam keadaan kenaikan kes COVID-19 di seluruh dunia manakala minyak Brent dan West Texas Intermediate masing-masing bergerak di antara US$40 dengan US$38 setong.

Di peringkat tempatan, Malaysia melaporkan 260 kes baharu COVID-19 semalam, angka kedua tertinggi sejak Februari 2020.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0456/0504 daripada 3.0426/0473 ketika ditutup semalam dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.3496/3569 daripada 5.3281/3362.

Ringgit lemah berbanding euro kepada 4.8746/8821 daripada 4.8723/8794 semalam dan turun berbanding yen kepada 3.9371/9426 daripada 3.9278/9341. -BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373