Ringgit susut ke paras terendah 24 tahun berbanding dolar AS

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Ringgit terus merosot kepada paras terendah baharu dalam tempoh 24 tahun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sewaktu dibuka pada Rabu, seiring dengan harga minyak yang rendah berikutan ramai pelabur beralih kepada mata wang selamat.

Pada 9.05 pagi, mata wang tempatan menyusut kepada 4.5200/5220 berbanding dolar AS daripada 4.5070/5085 sewaktu ditutup semalam.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS menunjukkan inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan pada 8.3 peratus berbanding ramalan 8.1 peratus.

“Bacaan yang lebih tinggi ini menyebabkan pelabur tertanya-tanya seberapa besar kenaikan kadar faedah yang boleh dilihat pada mesyuarat Rizab Persekutuan yang akan datang pada 21 September.

“Sebelum data IHP ini dikeluarkan, pasaran meramalkan kenaikan 0.5 – 0.75. Bagaimanapun, kini banyak pihak telah menaikkan ramalan mereka kepada 0.75-1.0 peratus,” katanya.

Diniz berkata, pasaran telah memberikan reaksi kukuh terhadap data itu menyebabkan berlaku satu lagi kenaikan kukuh dolar AS berbanding mata wang lain.

Harga minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras global merosot 0.08 peratus kepada AS$93.10 setong.

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata Malaysia tidak mengalami krisis ekonomi meskipun penurunan nilai ringgit berbanding dolar AS ketika ini.

Prestasi ringgit harus dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya dibandingkan dengan dolar AS kerana mata wang tempatan itu juga meningkat berbanding banyak mata wang utama lain di dunia.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2153/2174 berbanding 3.2320/2333 sewaktu ditutup semalam dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.1282/1301 daripada 3.1690/1703.

Ia turut menokok berbanding pound Britain kepada 5.1989/2012 daripada 5.2768/2786 semalam dan naik berbanding euro kepada 4.5105/5125 daripada 4.5818/5833 sebelum ini.

– BERNAMA -BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373