Rombakan Kabinet Indonesia selepas skandal rasuah

Estimate Reading Time: < 1 minute

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi mengumumkan rombakan kecil Kabinet pimpinannya, membabitkan pertukaran enam jawatan, hari ini.

Rombakan Kabinet itu turut membabitkan penyingkiran Johnny G Plate daripada jawatannya sebagai Menteri Komunikasi berikutan beliau kini sedang dibicarakan atas tuduhan menerima sogokan rasuah berjumlah $1.14 juta (RM5.19 juta).

Jawatan itu kemudiannya digantikan oleh Budi Arie Setiadi, yang sebelum ini menjawat Timbalan Menteri Desa.

Johnny ditahan Mei lalu kerana dipercayai menerima bayaran daripada syarikat yang terbabit dalam projek pembinaan menara telekomunikasi bagi kemudahan internet membabitkan ribuan buah kampung di seluruh negara.

Johnny yang menafikan sebarang salah laku, bagaimanapun berdepan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah terbabit rasuah dalam projek yang menyaksikan kerugian kepada negara dianggarkan bernilai 8 trilion rupiah (RM2,438 juta).

Beliau menteri kelima sepanjang dua penggal pentadbiran presiden yang didakwa atas tuduhan rasuah.

Budi sebelum ini mengasaskan kumpulan sukarelawan yang membantu dalam kempen pilihan raya Jokowi pada 2014.

Selain jawatan itu, Jokowi turut mengumumkan pelantikan timbalan menteri baharu bagi portfolio hal ehwal luar negeri, hal ehwal desa, hal ehwal agama, komunikasi dan perusahaan syarikat berkaitan kerajaan.

Beliau turut melantik dua ahli baharu dalam lembaga penasihat khasnya.

Ketika ditemui pemberita, Jokowi berkata, Budi akan diberi tanggungjawab dalam memfokuskan kepada aspek kecerdasan buatan dan perlindungan data.

“Kes rasuah akan diselesaikan dengan keutamaan turut diberikan terhadap penyelesaian projek menara telekomunikasi,” katanya selepas selesai majlis angkat sumpah.

– REUTERS

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373