Rossa tak sabar jumpa peminat di Kota Kinabalu

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR : Ratu pop Indonesia, Datuk Seri Rossa meneruskan kejayaan siri jelajah konsert Another Journey : The Beginning melalui penampilan sulung di pentas berprestij Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada 8 Disember depan.

Sabah menjadi lokasi pilihan diva tersohor dari seberang itu selepas konsert sama dipentaskan selama dua hari di Zepp Kuala Lumpur, Julai lalu, disusuli di The Star Theatre Singapura, bulan lalu.

Lebih istimewa buat peminat Sabah, Rossa atau nama sebenar, Sri Rossa Roslaina Handiyani menampilkan sahabat baik, Cakra Khan.

Bakal mendendangkan kira-kira 25 lagu malar segar, Rossa memberitahu, sudah menjadi kemestian bagi dirinya mempersembahkan kelainan di setiap lokasi konsert, termasuk menjemput rakan artis berbeza.

“Di Kuala Lumpur, saya bawa Rizky Febian pada hari pertama dan Mahalini pada hari kedua. Saya juga undang Betrand Peto Putra Onsu.

“Di Singapura, saya jemput Sufi Rashid, selain Mahalini dan Rizky Febian. Kali ini, di Sabah, saya bawa Cakra, iaitu sahabat iaitu penyanyi yang cukup luar biasa dan dicintai orang Indonesia dan Malaysia,” katanya pada sidang media virtual Konsert Another Journey: The Beginning Sabah di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Sidang media virtual itu turut dihadiri Cakra.

Mengenai pemilihan Sabah sebagai lokasi siri jelajahnya, Rossa yang berasal dari Sumedang, Jawa Barat mengaku sudah menjadi impiannya membuat persembahan berskala besar di luar Semenanjung.

“Konsert di Sabah pasti membawa suasana berbeza kerana peminat dari Sarawak dan Brunei boleh datang.

“Memang sudah menjadi angan-angan saya untuk berjumpa peminat di Borneo. Selalunya, peminat hanya lihat saya di kaca televisyen (TV) atau media sosial.

“Inilah peluang kami untuk bertemu secara lebih dekat. Peminat boleh menyanyi lagu saya yang selama ini mengiringi mereka sejak kecil.

“Selain itu, saya sangat teruja apabila sering mendengar ramai memperkatakan mengenai Sabah memiliki keindahan alam semula jadi dan makanan laut segar,” katanya yang merancang melawat Pantai Tanjung Aru dan menunaikan solat di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dalam kunjungan pertamanya di bandar raya itu.

Sementara itu, Cakra bersyukur dan berterima kasih kepada Rossa yang mengundangnya berkongsi pentas pada konsert di Kota Kinabalu.

Cakra yang cukup terkenal dengan lagu popular seperti Harus Terpisah, Mencari Cinta Sejati dan Kekasih Bayangan, berjanji memberi persembahan luar biasa.

“Saya rasa beruntung diberi peluang menyanyi pada konsert Rossa di Sabah. Selain berjumpa peminat, saya terima jemputan ini sebagai penghargaan kepada Rossa yang sentiasa beri sokongan kepada saya sejak mula menyanyi.

“Rossa menjadi individu pertama yang membawa saya ke Malaysia dan dikenali. Rossa mempunyai pengaruh luar biasa dalam perjalanan saya dalam industri muzik,” katanya.

-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373