Rugi RM30,000 kacang panjang ditenggelami banjir

Estimate Reading Time: < 1 minute

JERANTUT: Seorang pekebun sayur di Kampung Bukit Nikmat, Pulau Tawar di sini, kerugian kira-kira RM30,000 selepas tanaman kacang panjang yang akan mengeluarkan hasil dalam tempoh dua minggu lagi musnah ditenggelami banjir.

Asrul Abd Hamid, 49, berkata kebun kacang panjang seluas 0.8 hektar yang diusahakannya ditenggelami banjir apabila air mula memenuhi kawasan kebun akibat hujan berlarutan sejak tiga hari lalu.

Katanya, kebun yang diusahakan sejak dua tahun lalu sudah ditanam dengan lebih 2,000 pokok kacang panjang pada awal bulan ini.

“Hampir semua pokok ditanam yang sudah mula menjalar di tali rambatan itu musnah kerana ditenggelami air sedalam dua meter sejak tiga hari lalu.

“Kacang panjang ini dijangka mengeluarkan hasil dalam tempoh dua minggu lagi yang mampu menjana pendapatan kira-kira RM25,000 hingga RM30,000,” katanya ketika ditemui.

Asrul berkata, bagaimanapun beliau mampu memperoleh hasil bersih kira-kira RM20,000, hingga RM25,000, bergantung kepada harga semasa dan selepas ditolak segala kos penanaman seperti membajak. baja, benih dan upah pekerja.

“Saya terpaksa berputih mata melihat kebun yang musnah dan perlu memulihkannya semula, selain memerlukan modal yang sama bagi membersihkan kembali tapak.

Dua adik Asrul, Amizi, 45, dan Akmal, 42, yang mengusahakan 1,500 pokok terung, limau kasturi, sawi dan timun di tanah seluas 0.6 dan 0.4 hektar turut mengalami nasib sama.

“Hasil tanaman ditenggelami air banjir sedalam dua meter. Sebelum ini, kawasan yang ditanam jarang berlaku banjir kecuali banjir besar pada 2014.

“Kami tidak menjangka tahun ini berlaku banjir besar di kawasan ini,” kata Amizi.

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373