‘Sanusi tidak henti-henti diserang, jadi sasaran politik kotor’ – PAS Kedah

Estimate Reading Time: 2 minutes

ALOR SETAR: PAS Kedah mendakwa situasi politik negara dilihat semakin meruncing dengan tindakan sebahagian pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak henti-henti ‘menyerang’ Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ahmad Yahaya, menegaskan pihaknya kekal dengan prinsip mempertahankan Menteri Besar itu, malah berkeyakinan bahawa proses pendakwaan terhadap Muhammad Sanusi dapat membersihkan nama baik beliau yang dikatakan menjadi sasaran politik kotor oleh sebahagian pihak berkepentingan.

“Segala ruang dan peluang dieksploitasi semahunya bagi memastikan perjuangan YAB Muhammad Sanusi khasnya dan PN amnya, dipadamkan daripada pentas politik.

“Tidak cukup dengan serangan peribadi dalam isu banglo, akaun media sosial beliau disekat, bahkan pelbagai siri rangkaian fitnah dicipta bagi memastikan karakter Muhammad Sanusi dibenamkan,” dakwanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Bagi pertuduhan pertama, Muhammad Sanusi didakwa melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Bagi pertuduhan kedua di Mahkamah Sesyen berasingan, beliau didakwa menghasut dengan mempertikaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, PAS Kedah bertegas menyifatkan ia adalah pendakwaan terpilih, kerana beberapa tokoh parti PH dan BN dikatakan pernah menghina Sultan dengan tohmahan lebih dahsyat tetapi masih bebas bersuara.

“Kesalahan dilakukan mereka belum terpadam daripada ingatan rakyat Malaysia. Apakah gabungan PH dan BN benar-benar akan membawa wacana politik kotor sedemikian di sebalik pelbagai slogan kebebasan dan demokrasi yang dilaungkan sebelum ini? Itulah pembohongan terbesar PH dan BN kepada rakyat Malaysia.

“Suatu ketika, mereka mahu menghapuskan akta-akta yang mereka anggap sebagai ‘akta zalim’, termasuk Akta Hasutan. Hari ini, akta berkenaan digunakan untuk menjatuhkan lawan politik.

“Apa lagi kalau bukan ia hanyalah hipokrasi perjuangan PH dan BN yang semakin luput sokongan rakyat saban hari,” dakwanya.

Ahmad berkata, PAS Kedah sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Muhammad Sanusi dan berharap proses perundangan akan dilaksanakan secara adil.

Beliau berkata, pihaknya berpegang teguh kepada prinsip keadilan mengikut undang-undang serta bebas daripada sebarang cengkaman atau pengaruh politik.

“PAS Kedah berharap semua ahli dan penyokong PAS bertenang, tidak dipengaruhi emosi, serta sentiasa patuh pada undang-undang negara.

“Pada masa sama, memperbanyakkan doa serta munajat agar pemimpin yang kita kasihi ini, yang ikhlas dan amat bertanggungjawab kepada seluruh rakyat Kedah, sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT.

“Semoga Muhammad Sanusi mendapat keadilan yang selayaknya sepanjang proses undang-undang dilaksanakan, insya-Allah,” katanya.
– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373