‘Saya terima laporan banyak kaunter imigresen ditutup ketika perayaan’ – MB Johor

Estimate Reading Time: 2 minutes

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor diminta untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, yang juga pintu sempadan negara melalui negeri ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia berikutan pihaknya menerima aduan berhubung banyak kaunter pemeriksaan imigresen yang ditutup.

Beliau berkata, jabatna itu perlu konsisten dalam memberi perkhidmatan di pintu masuk itu memandangkan ketika lawatan beliau ke BSI beberapa hari lalu, beliau berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan terutamanya apabila semua kaunter dibuka dan beroperasi sepenuhnya.

“Saya mohon supaya pihak imigresen terus memberi perkhidmatan yang terbaik seperti minggu lalu.

“Hari ini (semalam), saya terima laporan bahawa banyak kaunter yang ditutup walaupun ada banyak kenderaan.

“Kita perlu terus konsisten dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” tulisnya dalam hantaran di Facebook rasminya, Onn Hafiz Ghazi pada petang semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata, beberapa kaunter di CIQ, BSI tidak dapat beroperasi atas sebab tertentu termasuk masalah teknikal dan keselamatan.

Katanya, penjelasan berhubung perkara itu sudah dibuat pihaknya kepada Menteri Besar Johor.

“Bukan tutup, istilah yang tepat tidak dapat beroperasi. Memang ada sebahagian kecil tidak beroperasi atas beberapa alasan seperti masalah teknikal, kerja penyelenggaraan, isu keselamatan dan sebagainya.

“Penjelasan sudah dibuat kepada Menteri Besar Johor,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Isnin lalu, Onn Hafiz yang sempat singgah beraya di BSI mengucapkan penghargaan kepada pengurusan Jabatan Imigresen Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta petugas lain di bangunan itu atas komitmen mereka memastikan perjalanan yang lancar bagi pengguna sepanjang musim perayaan.

Beliau berharap komitmen itu perlu berterusan supaya kesesakan di pintu masuk itu dapat dikurangkan.

Terdahulu, Onn Hafiz melakukan lawatan mengejut ke CIQ, BSI pada 29 Mac lalu, sebelum dua lagi lawatan susulan pada 5 April dan 19 April lalu.

Ia bertujuan melihat sendiri keadaan di bangunan itu selepas mendengar suara rakyat yang sering berdepan isu kesesakan di kedua-dua laluan antara Johor dan Singapura itu. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373