Sektor korporat perlu labur aspek keselamatan siber

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Sektor korporat digesa membuat pelaburan bagi memperkenal dasar berkaitan aspek keselamatan siber yang bersesuaian dengan tahap operasi syarikat masing-masing.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata ini kerana maklum balas diberikan pemain sektor itu menyatakan banyak syarikat di Malaysia tidak melihat kepentingan untuk membuat pelaburan dalam aspek keselamatan siber.

“Apabila kita lihat ekonomi digital bakal menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025, sudah pasti antara aspek sangat penting selain ekonomi digital itu sendiri ialah keselamatan siber dan perlindungan data.

“Maka hasil pertemuan malam ini, saya lihat ada kewajaran dan keperluan mengadakan perbincangan lebih meluas dengan sektor korporat dan juga mungkin melalui badan profesional yang mewakili syarikat untuk mewujudkan satu kesedaran mengenai keselamatan siber,” katanya selepas sesi dialog awam Industri Keselamatan Siber anjuran CyberSecurity Malaysia (CSM) di sini, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching dan Ketua Pegawai Eksekutif CSM, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab.

Fahmi berkata, menerusi sesi dialog awam itu, beliau berharap sektor keselamatan siber akan terus mendampingi CSM untuk merangka, merancang serta melaksana beberapa perkara berkaitan aspek keselamatan siber dalam negara.

Sementara itu, CSM dalam kenyataan berkata, sesi dialog awam itu bertujuan memantapkan lagi usaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sebagai peneraju pembangunan industri keselamatan siber negara dalam mendepani cabaran serta ancaman siber yang semakin kompleks.

Sesi itu yang dihadiri 200 pemain industri, turut menjadi platform untuk saling bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman mengenai isu keselamatan siber.

– BERNAMA

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373