Sektor ladang sawit masih kekurangan pekerja asing

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Isu kekurangan pekerja asing dalam sektor perladangan kelapa sawit masih belum pulih dan proses pengambilan tenaga kerja akan mengambil sedikit masa, demikian menurut Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Beliau berkata, tahap kritikal membabitkan kekurangan tenaga asing bagaimanapun bertambah baik selepas penggantungan sementara pengambilan, khususnya bagi sektor sawit ditarik balik pada awal 2022, sebelum kemasukan semula pekerja asing dari Indonesia bermula Ogos tahun lalu.

“Berdasarkan pemantauan MPOB, jumlah kekurangan guna tenaga di sektor perladangan sawit seperti dilaporkan pihak ladang mula menurun pada September 2022 dan sejak itu, jumlah kekurangan tenaga kerja telah menurun dari bulan ke bulan.

“Proses pengambilan pekerja asing sedikit mengambil masa,” katanya kepada BH.

Sementara itu, ditanya punca pekerja asing belum mencukupi sedangkan pengambilan dilaksanakan sejak Ogos, Ahmad Parveez berkata, kebergantungan yang tinggi menyukarkan sektor berkenaan mencapai tahap optimum memandangkan pekerja asing akan pulang ke negara asal apabila cukup tempoh.

“Majoriti pekerja dari Indonesia tidak kembali bekerja semula ke Malaysia apabila tamat tempoh memandangkan kemahiran yang mereka miliki mampu membolehkan mereka mendapat pendapatan di negara mereka setara di Malaysia.

“Di samping itu, kesukaran mendapatkan pekerja baharu terutama dari Indonesia menyebabkan sektor perladangan sentiasa kekurangan tenaga kerja,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Parveez berkata, MPOB difahamkan syarikat perladangan lebih mengutamakan pekerja dari Indonesia memandangkan mereka lebih produktif dan mudah berkomunikasi berbanding pekerja negara lain.

Katanya, dengan pelaksanaan gaji minimum ketika ini pada RM1,500 sebulan, ia dijangka menarik pekerja dari Indonesia, terutama daerah Lombok.

“Kerajaan juga berusaha mempercepatkan pemprosesan pengambilan pekerja asing kepada kurang 30 hari bagi membantu pihak ladang mendapat pekerja baharu atau penggantian dalam tempoh lebih cepat.

“Kerajaan juga menggalakkan pengambilan pekerja asing dari negara sumber seperti Bangladesh, India, Pakistan dan Nepal,” katanya.

Beliau menjelaskan, bagi memastikan negara tidak terus bergantung kepada pekerja asing, kerajaan menggalakkan tenaga kerja tempatan, terutama belia menyertai kursus latihan dianjurkan Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).

“Latihan ini untuk meningkatkan kemahiran mengadaptasi mekanisasi dan automasi supaya penggunaan tenaga kerja manual dapat dikurangkan dan kategori kerja yang membabitkan pengendalian jentera diisi pekerja tempatan,” katanya.

Dewan Rakyat baru-baru ini dimaklumkan sekurang-kurangnya 20 peratus hasil sawit tidak dapat dituai berikutan kekurangan buruh, justeru memerlukan kerajaan memperkenalkan inisiatif tambahan bagi memastikan industri itu kekal mampan.

Semasa sesi perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024, Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata beliau berharap perkara itu dapat diatasi dengan segera.

Pada 13 Julai 2022, Indonesia memaklumkan mengenai keputusan membekukan sementara kemasukan semua pekerja negara itu ke Malaysia kerana tidak menggunakan sistem tunggal seperti dipersetujui sebelumnya.

Bagaimanapun, pada Ogos tahun lalu, kerajaan Indonesia bersetuju menarik semula sekatan kemasukan tenaga kerjanya ke Malaysia selepas kedua-dua negara bersetuju mengintegrasikan sistem sedia ada, antara Jabatan Imigresen dan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) bagi pengambilan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) dan Tenaga Kerja Indonesia (TKI).

Dengan penarikan semula sekatan berkenaan, Kementerian Sumber Manusia (KSM) digesa menyegerakan kemasukan kira-kira 60,000 pekerja asing yang tertangguh sejak tahun lalu untuk sektor perladangan, yang terus bergelut dengan isu kekurangan tenaga kerja kritikal sejak COVID-19 melanda.

Situasi itu bagaimanapun dilihat berbeza dengan keadaan lambakan pekerja asing dalam negara yang melebihi unjuran ditetapkan seperti dimaklumkan KSM minggu lalu.

Menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing, angka semasa itu kini mencecah 2.7 juta orang berbanding jumlah yang sepatutnya berada di Malaysia, 2.4 juta.

Ini menunjukkan berlaku ketidakpadanan keperluan industri dengan jumlah pekerja asing yang ada di negara ini.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373