Selangor benar kehadiran solat Jumaat ikut kapasiti masjid

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membenarkan bilangan jemaah solat Jumaat dan solat lima waktu di masjid dan surau ditambah mengikut jumlah kapasiti sebenar premis terbabit dengan penjarakan sosial 1.5 meter berkuatkuasa hari ini.

Pelaksanaan berkenaan membabitkan semua masjid termasuk surau yang diberi Kebenaran Khas solat Jumaat oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad, berkata bagi solat Jumaat, jemaah masih perlu melalui proses pendaftaran dan penggiliran seperti mana yang ditetapkan sebelum ini.

“Sistem yang lebih cekap sedang dibuat bagi memudahkan jemaah untuk mendaftar dan menerima maklum balas kehadiran solat Jumaat.

“Bagi pelaksanaan solat lima waktu, kaedah kehadiran jemaah secara terbuka adalah dibenarkan sehingga kapasiti sebenar ruang solat selepas penjarakan sosial 1.5 meter dipenuhi atau diisi.

“Bagaimanapun, kehadiran jemaah muslimat (wanita) adalah tidak dibenarkan kecuali di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan Masjid Diraja Raja Haji Fi Sabililah, Cyberjaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, selaras dengan ketetapan baharu itu, pihak JAIS akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Katanya, tindakan tegas akan dikenakan jika melanggar SOP dan JAIS tidak akan teragak-agak menarik semula kelonggaran itu demi menjaga keselamatan.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373