Sewa tapak serendah RM10 untuk peniaga, penjaja tempatan

Estimate Reading Time: 2 minutes

GEORGE TOWN: Para peniaga dan penjaja kecil di seluruh Malaysia dijemput untuk menyertai program ‘Happy Hour’ di Kompleks Bukit Jambul (KBJ) Pulau Pinang bermula 5 hingga 7 Julai ini dengan kadar sewa tapak hanya RM10 sehari.

Pengurus Besar Pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) KBJ Crystal Wong berkata inisiatif itu diambil untuk membantu para peniaga yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 dan sehingga kini tidak mempunyai ruang untuk menjalankan perniagaan.

“Kita sedar bahawa banyak pasar malam, pasar pagi dan sebagainya yang masih tidak beroperasi seperti biasa. Jadi, kita mahu membuka peluang ini kepada para peniaga supaya mereka dapat menjana semula pendapatan dengan kadar sewa yang rendah dan menampung kerugian yang dialami sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami juga amat mengalu-alukan dan memberi keutamaan kepada golongan ibu tunggal untuk menyertai kami. Impian kami adalah untuk membuka ruang dan melatih para peniaga kecil untuk berniaga dalam suasana komersial supaya mereka dapat mengembangkan perniagaan mereka,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata para peniaga dibenarkan berniaga bermula pukul 11 pagi hingga 10 malam sepanjang program itu berlangsung di tingkat lima kompleks berkenaan.

Menurut Wong, sehingga kini majoriti peniaga yang telah mendaftar adalah peniaga makanan serta pakaian yang merupakan dalam kalangan penjaja dan peniaga di tepi jalan, pasar malam, pasar pagi, bazaria dan uptown.

“Orang ramai yang membeli-belah ketika ‘Happy Hour’ berpeluang untuk memenangi cabutan bertuah berupa penginapan di sebuah hotel terkemuka di Pulau Pinang selain dapat membeli-belah dengan potongan harga yang menarik, tawaran rebat serta pemberian baucar tunai oleh pihak pengurusan,” katanya.

Katanya tempahan slot digalakkan supaya dilakukan dengan kadar segera dan mereka yang berminat untuk menyertai program itu boleh menghubungi talian 011-10185118 (Titus) atau 012-6229990 (Wiena).

Dalam pada itu, Wong berkata pihak pengurusan KBJ turut membuka ruang dan kiosk perniagaan kepada penjaja kecil di dalam kompleks itu untuk membantu para peniaga kecil semasa pasca PKP, dan sehingga kini terdapat 15 peniaga kecil yang menjalankan perniagaan menjual makanan dan minuman di tingkat satu dan dua kompleks itu.

Salah seorang peniaga Rodziyah Yusof, 52, berkata beliau mula menjalankan perniagaan di situ hampir dua bulan lepas dan sambutan daripada pelanggan amat menggalakkan.

Beliau yang sebelum ini berniaga di tepi jalan menyifatkan tapak yang disediakan oleh pihak pengurusan adalah strategik dan selesa untuk para pelanggan menjamu selera.

“Jika diikutkan, lokasi tempat ini bagus, dengan kemudahan penghawa dingin, wifi percuma dan tempat duduk yang selesa. Sewa juga berpatutan dan pihak pengurusan KBJ mambantu kami dalam usaha mempromosikan perniagaan kami di media sosial,” katanya.

– BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373