Sibu, lokasi signifikan sambut sejarah pembentukan Malaysia

Estimate Reading Time: 2 minutes

SIBU, 14 Sept — Pemilihan Sibu sebagai tuan rumah bagi sambutan Hari Malaysia 2020 pada 16 Sept (Rabu) ini amat signifikan kerana bandar raya itu menyimpan seribu kenangan mengenai sejarah pembentukan Malaysia.

Bekas Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu (SCCI) Dr Gregory Hii Sui Cheng berkata Sibu menjadi lokasi pertemuan penting bagi menentukan sama ada Sarawak harus kekal sebagai tanah jajahan British atau membantu membentuk Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat.

Sejarah penting itu, berlaku di kediaman mendiang Tan Sri Ling Beng Siew, Presiden Persatuan Cina Sarawak (SCA) ketika itu, katanya.

Rumah yang beralamat di No. 25 Jalan Lanang itu telah diisytiharkan tempat bersejarah serta dinamakan sebagai Rumah Malaysia pada 29 Ogos 1983. Di sinilah, para pemimpin politik tempatan dari Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Parti Negara Sarawak (Panas), Barisan Rakyat Jati Sarawak (Barjasa) SCA dan Parti Pesaka Anak Sarawak (Pesaka) berkumpul dan memilih kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia, sebagai sebuah negara berdaulat.

“Sibu berperanan penting dalam sejarah pembentukan Malaysia. Benar, kami melalui pelbagai dugaan dan cabaran selama ini, tetapi ia tidak seharusnya menjadi penghalang untuk kita menyambut dan memperingati hari bersejarah itu.

“Ayuh, marilah kita bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang kerana kita mempunyai alasan kuat untuk melakukannya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Hii berkata, penduduk di Sibu harus berbangga kerana bandar itu dipilih kerajaan untuk menganjurkan perayaan bersejarah itu.

Meskipun, mungkin tiada perhimpunan besar-besar untuk meraikan peristiwa berkenaan, ekoran pandemik COVID-19 yang masih menular, namun katanya, sambutan itu akan menjadikan Sibu, tumpuan di peringkat kebangsaan.

“Pada awal pembentukan Malaysia di Sibu, terdapat rasa tidak puas hati, tetapi masa berlalu dan kini kita telah mengecapi kemakmuran negara dan seharusnya kita saling hormat-menghormati,” tambahnya.

Menurut Hii rakyat seharusnya meraikan sambutan ulang tahun pembentukan Malaysia dengan penuh rasa cinta terhadap negara dan mengibarkan Jalur Gemilang.

“Ini adalah hari yang sangat penting bagi kita rakyat Malaysia, tetapi kita tidak boleh menuduh individu yang tidak mengibarkan bendera sebagai tidak patriotik,” tambahnya.

Bagi Hii, beliau tidak dapat memahami mengenai tindakan kebanyakan rakyat Malaysia yang tidak mengibarkan Jalur Gemilang, terutamanya pada sambutan Bulan Kebangsaan.

“Kerajaan harus berusaha mengajak rakyat melakukannya (kibar Jalur Gemilang). Ini tidak mudah untuk dilakukan, tetapi bekerjasama dengan pihak swasta akan menjadi permulaan yang baik,” katanya menambah Pihak Berkuasa Tempatan juga perlu memainkan peranan untuk mengalakkan orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang.

Sementara itu, Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Sibu, Chambai Lindong berkata sebagai warganegara, rakyat Malaysia seharusnya meraikan majlis berkenaan cukup sekadar mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman dan premis masing-masing.

“Lebih-lebih lagi, apabila Sibu terpilih untuk menjadi tuan rumah perayaan Hari Malaysia tahun ini, kita semua harus mengibarkan Jalur Gemilang,” tambahnya.

-BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373