Sindiket kaut untung tawar mangsa jadi ejen jualan tidak wujud

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU: Menawarkan gaji antara RM1,000 hingga RM3,000 setiap seorang tidak termasuk komisen, menjadi modus operandi sindiket yang mengambil kesempatan terhadap situasi pandemik Covid-19 dengan menawarkan kerja sambilan sebagai ejen jualan e-dagang yang tidak wujud bagi mengaut keuntungan mudah.

Mangsa yang terpedaya kemudian ditawarkan menjadi ejen jualan barangan sebuah platform e-dagang ternama sama ada mahu menjadi ejen biasa atau ejen VIP yang masing-masing menawarkan komisen lapan dan 15 peratus bergantung kepada jumlah belian barangan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mangsa seterusnya diarahkan membuat pembayaran ke akaun keldai (mule akaun) bagi pembelian produk yang diiklankan di platform e-dagang itu yang didakwa stoknya telah tersedia.

Bagi meyakinkan mangsa, kata beliau, mangsa juga dijanjikan menerima semula wang mereka berserta jumlah komisen dalam tempoh 10 hingga 15 minit selepas pembayaran dibuat serta memberikan pautan kepada produk yang dibayar mangsa.

“Modus operandi sindiket ini digerakkan oleh kumpulan lain yang bertindak sebagai ibu pejabat yang membuat hebahan melalui laman sosial dan menghantar mesej di aplikasi WhatsApp secara rawak kepada mangsa yang menawarkan kerja sambilan.

“Mangsa yang berminat (untuk menjadi ejen jualan) diarahkan menghubungi pusat panggilan yang diserbu polis di Kota Tinggi, Isnin lalu,” katanya ketika membongkarkan kegiatan sindiket itu dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.-UTUSAN

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373