Sindiket pemburu haram Ulu Muda tumpas

Estimate Reading Time: 2 minutes

ALOR SETAR: Enam pemburu yang menjalankan aktiviti memburu kijang, rusa dan pelanduk secara haram sejak lebih 10 tahun lalu akhirnya ‘masuk jerat’ apabila ditahan dalam Ops Hunter Jabatan Perlindungan dan Hidupan Liar (PERHILITAN), Jumaat lalu.

Pengarah PERHILITAN Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim, berkata serbuan dilakukan serentak pada jam 1 pagi di rumah lelaki berusia 40-an hingga 63 tahun dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 69 Komando Pasukan Gerakan Khas (PGK) Ulu Kinta, Perak serta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) yang membabitkan lebih 60 orang.

Beliau berkata, operasi ini bertujuan membanteras aktiviti pemburuan haram hidupan liar serta rangkaian di sekitar kawasan perkampungan berhampiran Hutan Simpan Ulu Muda, Sik.

“Hasil maklumat dan intipan yang dilakukan, anggota kami berjaya menahan enam lelaki terbabit di rumah masing-masing di sekitar kawasan Sik. Mereka dipercayai menjadikan aktiviti pemburuan haram ini sebagai sumber pendapatan utama dengan menjalankan aktiviti urus niaga menjual hasil buruan hidupan liar.

“Mereka yang terdiri daripada sindiket itu dipercayai menjual daging atau tanduk serta apa jua bahagian haiwan yang diburu itu kepada pelanggan tempatan dengan harga lumayan,” katanya pada sidang media di Pejabat PERHILITAN Kedah, Anak Bukit, di sini hari ini.

Jamalun Nasir berkata, daging pelanduk adalah antara haiwan bernilai tinggi dan mampu mencecah lebih RM200 sekilogram dan dalam operasi kali ini semua daging haiwan liar termasuk pelbagai jenis burung yang dirampas dianggarkan bernilai RM103,350.

“Ini adalah rampasan terbesar setakat ini dan kita percaya masih ada saki baki sindiket ini di kawasan berhampiran. Hasil siasatan turut mendapati, dalang kumpulan itu adalah lelaki berusia 63 tahun yang dipercayai sudah lama bergiat aktif dalam kegiatan itu.

“Mereka dipercayai masuk ke dalam hutan belantara untuk memburu haiwan terbabit menggunakan senapang, busur dan anak panah sebelum memproses daging kijang, rusa dan pelanduk berkenaan di sebuah pondok dalam hutan berkenaan sebelum disejuk beku,” katanya.

Beliau berkata, turut dirampas dalam operasi itu adalah beberapa laras senapang, busur dan anak panah yang digunakan dalam aktiviti itu untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang boleh dikenakan hukuman mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 (Akta A1646) yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373