Sistem laluan kontra diaktifkan di Lebuhraya KL-Karak

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: ANIH Berhad mengaktifkan laluan kontra di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) membabitkan laluan dari Kilometer (KM) 123.10 hingga KM124.70 arah Kuantan, bermula hari ini.

Pengaktifan laluan kontra itu bertujuan meminimumkan gangguan aliran tragik utama berikutan kerja projek tebatan banjir di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1).

Pengerusi Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein, berkata pengaktifan sistem ini disebabkan beberapa skop kerja kritikal bagi projek tebatan banjir berkenaan.

Ia membabitkan penambakan laluan utama dan kawasan sekitarnya, menaikkan tahap ketinggian laluan utama, penambahbaikan menyeluruh kepada laluan air sedia ada, dan pembinaan saluran air tambahan di kawasan tersebut.

“Projek tebatan banjir ini bertujuan menangani peningkatan paras sungai dan kawasan tadahan hujan yang sebelum ini menjejaskan laluan utama LPT1.

“Skop kerja ini akan membabitkan 14 kawasan yang dikenal pasti di laluan utama di dalam Right of Way (RoW) lebuh raya terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Nik Fauzi, pihaknya komited untuk memastikan tahap keselamatan dan keselesaan para pengguna menjadi keutamaan sepanjang projek ini.

“Pengaktifan laluan kontra ini bertujuan untuk mengurangkan gangguan trafik kepada para pengguna.

“Sungguhpun membabitkan penutupan penuh lebuh raya dari KM123.10 hingga ke KM124.70 ke Kuantan, namun pengaktifan lorong ini akan diubah mengikut kesesuaian dan keperluan trafik semasa,” katanya.

Terdahulu, ANIH Berhad memberi taklimat maklumat projek dan perkembangan fasa projek tebatan banjir kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sempena lawatan kerja beliau, semalam bagi meninjau keadaan kerja-kerja di tapak KM124 arah Barat.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Sazali Harun.

Mengulas lanjut, Nik Fauzi berkata, sejak LPT1 dibuka, empat kejadian banjir berlaku iaitu pada 2007, 2014, Januari 2021 dan Disember 2021, yang menyebabkan lebuh raya ditutup kepada semua jenis kenderaan selama beberapa hari.

“Keseluruhan projek tebatan banjir dijangka mengambil masa selama empat tahun meliputi kerja-kerja menaikkan paras permukaan jalan sedia ada berdasarkan paras banjir tertinggi yang direkodkan di LPT1.

“Ia turut membabitkan pembinaan selenggaraan tambahan di kawasan terjejas untuk mengelakkan air daripada masuk ke laluan utama,” katanya.

Berikutan itu, katanya pengguna dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka dan mematuhi papan arah serta arahan petugas di lokasi.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373