Sivakumar nafi rumah digeledah SPRM

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, menafikan laporan media kononnya kediaman beliau digeledah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Ketika diasak persoalan terbabit berulang kali susulan siasatan membabitkan kes pengambilan pekerja asing, beliau sekadar memberi jawapan ringkas kepada pemberita.

“Tidak ada, tidak ada,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Pra Pelancaran Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2023 di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan SPRM menggeledah pejabat dan kediaman Sivakumar, dikatakan bagi melengkapkan siasatan kes yang sedang disiasat agensi berkenaan.

Dengan memetik sumber, laporan media itu mendakwa penggeledahan terbabit bagi menjejaki wang yang disyaki terbabit dalam kes yang sedang disiasat SPRM membabitkan beberapa pegawai kanan di kementerian berkenaan.

Penggeledahan dilakukan SPRM sebaik keterangan Ahli Parlimen Batu Gajah diambil pada hari sama, semalam.

Ditanya mengenai pertemuannya dengan SPRM semalam, Sivakumar berkata, beliau menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada suruhanjaya terbabit.

“Biar mereka buat siasatan, (kes) masih dalam proses siasatan, apa-apa kita akan bagi kerjasama penuh, itu sahaja.

“(Saya tidak) tidak ditahan, cuma bagi kenyataan. Saya kata akan bagi kerjasama, maknanya akan bagi kerjasama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kementeriannya akan memberi kerjasama penuh untuk membantu siasatan.

SPRM sebelum ini dilapor menyerbu pejabat kementerian di Putrajaya Khamis, di mana seorang pegawai kanan Sivakumar ditahan.

Sehari kemudian, SPRM menahan setiausaha sulit Menteri Sumber Manusia itu berhubung siasatan rasuah itu. Turut ditahan seorang ahli perniagaan dari Ipoh dalam siasatan dikatakan membabitkan rasuah bernilai RM97 juta.

Difahamkan siasatan SPRM turut bertumpu kepada individu lain dalam kementerian dan agensi berkaitannya. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373