SMITH bangun kilang sarung tangan di Sarawak

Estimate Reading Time: 2 minutes

BINTULU: Sarawak Medical Innovation Technology Hub Sdn Bhd (SMITH) telah memeterai perjanjian dengan Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) untuk membangunkan kilang pembuatan sarung tangan perubatan di negeri ini.

SMITH yang ditubuhkan oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) merupakan hab perubatan, yang terlibat dengan pembuatan peranti serta pengkomersilan teknologi yang dikategorikan di bawah beberapa sektor.

Dalam satu kenyataan, SMITH berkata fasa pertama projek itu akan menjadi fasiliti pembuatan sarung tangan perubatan yang terletak di dalam Taman Perindustrian SEDC Petchem, kira-kira 10 kilometer dari Pelabuhan Bintulu, di Tanjung Kidurong.

Pembangunan kilang pembuatan sarung tangan itu akan dilaksanakan dalam dua fasa dan setiap fasa akan melibatkan pembinaan empat barisan pengeluaran dengan kedua-duanya mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan 104 juta keping sarung tangan sebulan.

“Ia terletak secara strategik bagi menguasai pasaran di bahagian dunia ini dengan rangkaian komersial penjagaan kesihatan tertumpu antara Pan-Asia, Amerika Utara, Eropah dan Timur Tengah,” kata SMITH.

Perkongsian dengan EXIM Bank, sebuah institusi kewangan pembangunan milik kerajaan, menunjukkan keyakinan yang diberikan kepada projek SMITH.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EXIM Bank Arshad Ismail berkata perkongsian itu adalah bukti komitmen mereka untuk memupuk inovasi dan kemajuan dalam penjagaan kesihatan.

“Secara bersama, kami menyediakan sokongan kewangan serta perlindungan yang diperlukan untuk memacu masa depan teknologi perubatan, seterusnya, sebagai jaminan bahawa inovasi yang tidak ada had dan pengangguran ditangani,” katanya.

Sementara itu, CEO SMITH Robert Hardin berkata perkongsian dengan EXIM Bank yang merupakan institusi kewangan pembangunan milik kerajaan menunjukkan keyakinan yang diberikan kepada projek mereka.

“Dengan tahap sokongan ini, projek tersebut akan membawa pertumbuhan bukan sahaja ke Tanjung Kidurong tetapi juga Sarawak serta Malaysia secara keseluruhan dengan lebih banyak peluang pekerjaan akan ditawarkan apabila projek itu berjalan nanti,” katanya.

Menurut kenyataan itu, projek itu dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak, merangsang pertumbuhan ekonomi, selain mengurangkan kebergantungan pada peralatan farmaseutikal dan ubat-ubatan yang diimport.
-Bernama
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373