Southgate ketepikan Sterling sekali lagi

Estimate Reading Time: 2 minutes

LONDON: Gareth Southgate berkata pintu masih terbuka “100 peratus” buat Raheem Sterling selepas mengetepikan penyerang Chelsea itu daripada skuad England bagi aksi terakhir kelayakan Euro 2024.

Southgate, pasukannya sudah memastikan tempat ke kejohanan di Jerman tahun depan, menamakan 25 pemain awal pagi tadi bagi perlawanan di laman sendiri menentang Malta pada 17 November ini dan kunjungan ke Macedonia Utara tiga hari kemudian.

Sterling, yang mempunyai 82 cap dan 20 gol bersama England, tidak beraksi dengan pasukan kebangsaan sejak Piala Dunia di Qatar tahun lalu, yang mana England layak ke suku akhir.

“Pintu masih terbuka 100 peratus bukan hanya buat Raheem tetapi pemain lain juga,” kata Southgate. “Tiada sebarang keraguan mengenainya.

“Kami tidak perlu tahu mengenai kualitinya, personalitinya. Dia seorang pemain penting yang menjadi bukti kejayaan kami dalam beberapa tahun terakhir.”

Bos England itu berkata, sukar untuk meninggalkan pemain yang beraksi baik bagi memberi ruang kepada Sterling, 28, yang menyumbat empat gol buat Chelsea musim ini.

“Dia tidak boleh beraksi pada Mac atau Jun lalu dan pasukan bermula dengan bagus,” katanya.

“Kami menang di Itali buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun, dua persembahan pada Jun amat cemerlang, jadi kami kekal dengan kelompok pemain itu,” tegasnya.

Pemain pertahanan Manchester City, John Stones dan penyerang Arsenal, Eddie Nketiah terpaksa diketepikan kerana kecederaan.

Kapten Chelsea, Reece James kembali cergas selepas pulih daripada kecederaan hamstring tetapi meminta diketepikan daripada skuad itu ketika dia dijangka akan menggantikan Stones. – AFP

SKUAD ENGLAND

Penjaga gol: Sam Johnstone (Crystal Palace), Jordan Pickford (Everton), Aaron Ramsdale (Arsenal).

Pertahanan: Levi Colwill (Chelsea), Lewis Dunk (Brighton), Marc Guehi (Crystal Palace), Harry Maguire (Manchester United), Fikayo Tomori (AC Milan/ITA), Kieran Trippier (Newcastle), Kyle Walker (Manchester City).

Tengah: Trent Alexander-Arnold (Liverpool), Jude Bellingham (Real Madrid/ESP), Conor Gallagher (Chelsea), Jordan Henderson (Al-Ettifaq/KSA), Kalvin Phillips (Manchester City), Declan Rice (Arsenal).

Penyerang: Jarrod Bowen (West Ham), Phil Foden (Manchester City), Jack Grealish (Manchester City), Harry Kane (Bayern Munich/GER), James Maddison (Tottenham), Marcus Rashford (Manchester United), Bukayo Saka (Arsenal), Ollie Watkins (Aston Villa), Callum Wilson (Newcastle).
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373