Speaker Dewan Rakyat belum terima usul tidak percaya terhadap PM

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat setakat ini, belum menerima usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, daripada mana-mana pihak, termasuk pembangkang untuk sidang Parlimen akan datang.

Perkara itu disahkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul kepada BH, hari ini.

“Tiada setakat ini,” katanya ringkas.

Sebelum ini, Ahli Parlimen BERSATU memaklumkan, mereka tidak berhasrat untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Kerajaan Perpaduan yang dipimpin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris, pada Ahad lalu, dilaporkan berkata, setakat ini tiada perbincangan mengenai perkara itu di peringkat parti, termasuk berkaitan angka untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Kenyataan itu menyusul selepas Perdana Menteri mencabar mana-mana pihak yang mendakwa mempunyai sokongan cukup bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan, supaya membawa usul berkenaan pada sidang Parlimen, bulan ini.

Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan, beliau bukan Perdana Menteri yang takut seperti pimpinan negara terdahulu, yang memilih menangguhkan sidang Parlimen dan mengisytiharkan darurat bagi mengelak ‘bertempur’.

Anwar dilaporkan berkata, pihak yang yakin mempunyai sokongan cukup Ahli Parlimen bagi menukar kerajaan boleh membawa usul undi percaya kepada Perdana Menteri bagi mendapatkan keabsahan. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373