Suami isteri dituduh dera dan bunuh

Estimate Reading Time: 2 minutes

AYER KEROH: Sepasang suami isteri yang disyaki mendera dan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di sebuah rumah di Taman Krubong Jaya, di sini, dua minggu lalu, didakwa di Mahkamah Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohd Fadzli Abdull Razak, 38, dan Zuraida Atan, 32, didakwa di dua mahkamah berasingan atas dua pertuduhan membunuh dan mendera kanak-kanak terbabit.

Mengikut pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh sejurus kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa melakukan bunuh terhadap kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sehingga menyebabkan kematian.

Sabit kesalahan mengikut seksyen itu, tertuduh yang juga ibu kandung dan bapa tiri mangsa boleh dihukum mati.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 29 Januari lalu, kira-kira jam 3.32 petang di rumahnya di Nombor 9, Jalan KJ 19, Taman Krubong Jaya, Melaka Tengah, di sini.

Pasangan suami isteri terbabit turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mendera mangsa sama dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Dakwaan itu dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kesalahan Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan itu sejurus kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Kejadian itu dilaporkan berlaku antara 13 Oktober tahun lalu kira-kira jam 10.30 malam hingga 29 Januari lalu pada jam 3.32 petang di lokasi sama.

Nariman bagaimanapun tidak membenarkan sebarang jaminan dan kedua-kedua kes berkenaan akan disebut semula pada 29 Mac depan sementara menunggu laporan bedah siasat.

Terdahulu, prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Badius Zaman Ahmad manakala tertuduh lelaki diwakili peguam Datuk Ahmad Musthafi Mohamad dan Muhammad Firdaus Abd Razak.

Tertuduh wanita pula diwakili barisan peguam Zamri Idrus, Ishak Mohd Kari, Yusman Che Aman dan Saifuzzaman Ab Rahman.

Pada 29 Januari lalu, kanak-kanak lelaki itu ditemui meninggal dunia dalam dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter oleh suspek lelaki yang juga bapa tirinya di Taman Krubong Jaya, di sini.

Pasangan suami isteri itu kemudian ditahan reman sejak 30 Januari lalu sehingga Khamis ini.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373