Subsidi bersasar bantu kerajaan capai sasaran defisit fiskal

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan subsidi bersasar elektrik, diesel dan RON95 dijangka mampu membantu kerajaan mencapai sasaran defisit fiskal 3.5 peratus menjelang 2025, demikian menurut penganalisis.

CGS-CIMB dalam satu nota penyelidikan berkata, ia telah melihat penjimatan datang daripada normalisasi harga komoditi global, sehubungan itu subsidi bersasar item yang dinyatakan adalah memadai untuk mengukuhkan imbangan fiskal.

Ia berkata, berdasarkan pertemuan dengan beberapa pelabur institusi dalam dua minggu ini, didapati terdapat perubahan dalam sikap pelabur terhadap dasar kerajaan.

Katanya, terdapat penerimaan umum terhadap pandangan pihaknya bahawa mesej kerajaan mengenai rancangan dan strategi jangka sederhana kini lebih jelas.

Jelasnya, beberapa pelabur berminat untuk memahami beberapa bidang berpotensi di mana subsidi boleh dikurangkan dan seandainya perubahan besar diperlukan untuk mencapai sasaran defisit 3.5 peratus menjelang 2025.

“Kami menunjukkan bahawa sudah ada penjimatan yang datang daripada normalisasi harga komoditi global manakala subsidi bersasar seperti elektrik, diesel dan RON 95 (lebih ke arah separuh kedua 2024), sudah memadai untuk mengukuhkan imbangan fiskal.

“Kami juga mengetengahkan bahawa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) boleh diperkenalkan secara beransur-ansur dan berperingkat kerana peningkatan hasil tambahan adalah tidak diperlukan untuk mencapai sasaran 3.5 peratus itu,” katanya.

Bagaimanapun, CGS-CIMB berkata, pelaksanaan projek sebenar dan kelulusan Kabinet serta Parlimen yang kritikal dilihat perlahan.

Ia berkata, pihaknya merasakan tahap kekecewaan memandangkan tidak ada keperluan mendesak untuk memulakan projek pemangkin, yang penting untuk mencapai agenda Ekonomi MADANI Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Walaupun mendapat galakan daripada butiran yang disediakan dalam Belanjawan 2024 seperti rancangan pelancaran bajet perbelanjaan pembangunan agresif sebanyak RM90 bilion, ditambah beberapa projek berprofil tinggi yang dianggap di luar lembaran imbangan, kami percaya adalah penting supaya beberapa penganugerahan projek berlaku antara November 2023 dan Mac 2024 untuk menjana keyakinan yang lebih besar bahawa kerajaan serius untuk membawa ekonomi ke peringkat seterusnya,” katanya.

Ia menambah, berdasarkan laporan The Edge pada 6 November yang memetik Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai berkata bahawa penukaran tenaga telah diluluskan oleh Kabinet.

Jelasnya, perkembangan itu adalah penting untuk memangkinkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Kami akan memantau dengan teliti, antara lain, potensi anugerah untuk Pan Borneo Sabah Fasa 1B (RM15.7 bilion), Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) (RM7.4 bilion), MRT3 (RM40 bilion hingga RM45 bilion), projek tebatan banjir (RM11.8 bilion) dan LRT Bayan Lepas (RM10 bilion),” katanya.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373