Subsidi hanya perlu diberi kepada golongan kurang berkemampuan – Ahmad Maslan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KAJANG: Kerajaan kini sedang dalam proses meneliti mekanisme terbaik untuk melaksanakan subsidi bersasar termasuk pemberian subsidi petrol RON95 dan diesel kepada golongan yang sepatutnya mendapat manfaat berkenaan mulai 2024.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata mekanisme berkenaan sudah tentu diteliti oleh pelbagai kementerian termasuk Kementerian Kewangan (MOF).

“Pada masa sama jawatankuasa berkaitan akan terus memperhalusi bagaimana cara atau kaedah terbaik yang perlu dilakukan untuk memberi subsidi kepada golongan sasar.

“Tentunya kerajaan membawa falsafah bahawa subsidi perlu diberikan kepada golongan kurang berkemampuan berbanding golongan orang kaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Mockup Cheque Geran NAPREC di Dewan Jubli Institut Penilaian Negara (INSPEN) di sini, hari ini.

Beliau berkata, Malaysia terdiri daripada golongan T20, M20 dan B40. Bagaimanapun subsidi petrol RON95 dan diesel banyak diberi kepada golongan T20 kerana mereka memiliki kenderaan yang besar dan lebih banyak jumlah kenderaan.

“Mereka adalah golongan berada tidak patut menerima lebih banyak subsidi.

“Sebab itu pelaksanaan subsidi bersasar perlu dilakukan selain subsidi kepada golongan T20 berkenaan kita boleh gunakan untuk projek pembangunan kerajaan,” katanya.

Katanya, perkara berkenaan juga boleh digunakan untuk projek pembangunan rakyat yang miskin bagi menoktahkan kadar kemiskinan tegar.

“Golongan T20 tidak memerlukan subsidi berkenaan, tetapi M40 dan B40 adalah golongan yang sepatutnya menerima lebih banyak subsidi berbanding golongan kaya,” katanya.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata kerajaan dijangka melaksanakan pemberian subsidi bersasar, termasuk untuk petrol RON95 dan diesel, mulai tahun hadapan.

Beliau berkata, langkah berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat dan untuk permulaan, ia hanya membabitkan subsidi diesel.

– Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373