Sunway Pyramid naik taraf inisiatif ‘Order and Collect’

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Sunway Pyramid membawa pusat beli-belah mereka di hujung jari pelanggan yang ingin mendapatkan barangan keperluan tanpa meninggalkan kediaman masing-masing menerusi kempen ‘Order and Collect’ yang dinaik taraf.

Bermula 17 Julai depan, kempen ‘Order and Collect’ yang dinaik taraf itu membolehkan pelanggan menikmati perkhidmatan penghantaran makanan daripada lebih 40 peruncit terdiri daripada peruncit makanan, minuman dan banyak lagi melalui satu senarai pesanan serta satu caj penghantaran.

Ketua Pegawai Operasi Sunway Pyramid Kevin Tan menjelaskan bahawa perkhidmatan itu telah diperkenalkan untuk menangani kekhuatiran pelanggan tentang keselamatan mereka, serta menawarkan keselesaan kepada pelanggan untuk terus menikmati makanan dan minuman kegemaran mereka.

 

“Sistem ‘Order and Collect’ yang dinaik taraf ini bertujuan untuk menawarkan kemudahan bagi pembeli-belah sementara kita cuba mengembalikan operasi harian serta perkhidmatan yang lain secara beransur-ansur. Dengan cara ini, pelanggan masih dapat merasai pengalaman yang ditawarkan oleh Rangkaian Pusat Beli-Belah Sunway dari keselesaan di rumah masing-masing, di samping menyokong kelangsungan operasi perniagaan para peruncit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, kempen ‘Order and Collect’ hanya melibatkan khidmat pandu lalu, iaitu pembeli-belah diberi peluang mengambil barangan di stesen-stesen khas yang disediakan setelah dipesan melalui panggilan telefon.

Sebagai bonus kepada pelanggan, Kevin berkata sepanjang bulan pertama, mereka dapat menikmati khidmat penghantaran percuma dari 25 Jun hingga 26 Julai, menerusi pembelian minimum berjumlah RM20, termasuk 5X mata ganjaran Sunway Pals dan kod promo RM5 bagi resit pembelian mereka.

Menurut Kevin, inisiatif ‘Order and Collect’ dapat direalisasikan menerusi kerjasama dengan penawar khidmat penghantaran MatDespatch yang mengendalikan tugas penghantaran dari pusat beli-belah ke lokasi pelanggan, dengan menggalas tanggungjawab sejajar dengan amalan keselamatan dan kebersihan.

Katanya, buat masa ini, kempen baharu itu akan dilancarkan di Sunway Pyramid terlebih dahulu, disusuli dengan rancangan untuk memperkenalkan inisiatif sama di pusat beli-belah Sunway yang lain sepanjang tahun ini dan tahun depan.

Sementara khidmat penghantaran pula, disediakan di Lembah Klang sahaja dengan kadar penghantaran bermula dari RM7 dan kenaikan kadar berkenaan bergantung kepada lokasi pelanggan.

Bagaimanapun, Kevin berkata pelanggan yang ingin mengambil sendiri pesanan di stesen ‘Order and Collect’ terletak di luar pusat beli-belah berkenaan, mereka masih boleh berbuat demikian kerana stesen berkenaan akan terus digunakan.

Maklumat lanjut atau membuat pesanan, pelanggan boleh layari www.sunwaypyramid.com.

— BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373