Tak sampai 10 jam, 2 kes ancam, terjun Jambatan Pulau Pinang diterima bomba

Estimate Reading Time: < 1 minute

GEORGETOWN: Dalam tempoh kurang 24 jam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang menerima dua lagi panggilan berhubung ancaman terjun dari Jambatan Pulau Pinang.

Dalam kejadian kedua di Kilometer 7.4 arah Georgetown, mangsa berusia 26 tahun dari Jalan Lim Khon Huat, terdahulu menaiki motosikal sebelum meninggalkannya di atas jambatan dan kemudian mengancam untuk terjun.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Fairol Mahazi Malek, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 4.26 pagi sebelum menghantar pasukan enam anggota ke lokasi.

“Sebaik tiba, didapati seorang lelaki mengancam mahu terjun dari jambatan. Pasukan penyelamat dibantu polis memujuk mangsa dan memberi nasihat. Pada mulanya, lelaki itu tetap berdiri di tebing jambatan sambil memandang ke arah laut dan enggan beri kerjasama.

“Pasukan ambil masa 20 minit memujuk lelaki itu yang kemudian dibawa ke tempat selamat sebelum diserah kepada polis untuk tindakan lanjut. Dia dipercayai kemurungan, percakapan juga kurang jelas.

“Ketika ditanya, dia hanya njawab ‘saya tak salah, ada CCTV (kamera litar tertutup) di rumah’ berulang kali,” katanya ketika dihubungi hari ini, sambil memaklumkna operasi ditamatkan jam 5.02 pagi.

Terdahulu dalam kejadian pertama jam 6.30 petang semalam, remaja perempuan berusia 15 tahun berjaya diselamatkan nelayan selepas terjun dari jambatan berkenaan.

Remaja terbabit sebelum itu mengadu pening dan mahu muntah sebelum meminta pemandu e-hailing memberhentikan kereta, namun kemudian bertindak terjun dari jambatan.

Bomba menerima maklumat pada jam 7.10 petang mengenai kejadian di Kilometer 3.4 Jambatan Pulau Pinang dari arah Perai menghala ke Georgetown itu.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373