Takut tak pulang kalau keluar beli makanan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA BHARU: Seorang lelaki warga Palestin, Abdallah Ismail yang menetap di Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini, mengakui risau memikirkan keadaan ibu, adik-beradik, ipar-duai dan anak saudaranya yang kini berdepan dengan perang dengan rejim Zionis.

Abdallah, 38, berkata, dia bimbang dengan nasib mereka berikutan tidak dapat berhubung dengan ibu sejak tiga hari yang lalu berikutan perang di Gaza semakin teruk.

Katanya, keadaan di Gaza kini tidak mempunyai bekalan elektrik, air, makanan habis dan penduduk tidak dapat keluar untuk mencari makanan bagi meneruskan kehidupan.

“Tiga hari lalu, saya dapat berhubung dengan ibu melalui aplikasi WhatsApp dan masa itu ibu kata mereka masih hidup dan berlindung di rumah.

“Namun, selepas itu kami sudah tidak dapat berhubung berikutan keadaan yang makin teruk hingga membuatkan saya bimbang dengan keadaan mereka.

“Di dalam rumah kami, terdapat lebih 50 ahli keluarga termasuk kanak-kanak dan ibu saya juga sudah berusia 76 tahun,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Bapa kepada dua anak itu berkata, untuk menghilangkan kegusaran hati memikirkan mengenai ibu dan ahli keluarga, dia kini hanya mampu berdoa supaya perang itu tamat dengan segera.

“Saya harap ibu, adik-beradik, ipar-duai dan anak saudara selamat kerana kami sudah lama tidak berjumpa selepas saya datang ke negara ini pada 2012 dan mula menetap di Kelantan pada 2014.

“Saya teringin untuk pulang ke Gaza dan berdoa supaya negara saya kembali aman,” katanya.

Abdallah yang berkahwin dengan wanita tempatan berkata, seluruh wilayah Gaza sudah tidak selamat kerana ia dihujani dengan bom.

“Rakyat nak beli makanan di luar pun takut kerana jika keluar sudah pasti mereka tidak akan pulang untuk bertemu keluarga,” katanya.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373