Tambah baik undang-undang antirasuah

Estimate Reading Time: 3 minutes

KUALA LUMPUR: Di sebalik pelbagai usaha dilaksanakan oleh kerajaan dan pihak berkepentingan bagi menangani isu rasuah di negara ini, masalah itu terus berleluasa, dan paling membimbangkan apabila didapati gejala makan suap mempunyai generasi ‘pelapis’ dalam kalangan belia.

Hal ini dapat dilihat daripada statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh 2007 hingga Ogos 2022 yang menyaksikan 57.8 peratus daripada 5,652 orang yang ditangkap kerana rasuah adalah penjawat awam berusia bawah 40-an.

Pada 2020 sahaja, seramai 275 orang muda berusia 18 hingga 30 tahun, merangkumi pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan penjawat awam, ditahan kerana terbabit gejala makan suap.

Kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2021 berkenaan tingkah laku mahasiswa berhubung rasuah mendapati 14.3 peratus daripada 2,254 penuntut IPT awam dan swasta yang terbabit soal selidik itu mengaku pernah ditawarkan rasuah.

Namun yang meresahkan ialah pengakuan 2.5 peratus atau 56 orang daripada responden bahawa mereka dengan sengaja mengambilnya, sekali gus mengundang persoalan tentang keampuhan undang-undang rasuah di negara ini, bagi menangani ‘penyakit’ yang boleh meruntuhkan sosioekonomi sesebuah negara itu.

Mengulas mengenainya, pensyarah di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Amini Amir Abdullah, menyarankan jumlah denda minimum perlu dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM50,000 dengan mengekalkan “jumlah lima kali ganda nilai suapan” dan “mengikut mana lebih tinggi”.

Sementara itu, Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sosial, UPM Prof Madya Dr Haliza Abdul, berkata hukuman lebih keras diperlukan dalam menangani rasuah bagi mencerminkan impak buruk yang dibawa oleh kegiatan itu.

Katanya, pelaksanaan hukuman terhadap pesalah rasuah tidak boleh dibuat seperti menjatuhkan hukuman kepada individu yang disabitkan kesalahan mencuri di pasar raya.

Beliau berkata, pelaku rasuah membabitkan pelbagai latar belakang termasuk golongan berkedudukan tinggi dalam masyarakat dan institusi.

“Hukuman berat perlu dijatuhkan kepada pesalah rasuah supaya mereka serik, selain menggambarkan hukuman dikenakan sesuai dengan kepentingan awam serta mampu membangkitkan rasa tidak senang atau jijik masyarakat terhadap jenayah tersebut.

“Ini sekali gus akan mencerminkan kerajaan serius membanteras gejala rasuah, selain memberi pengajaran kepada masyarakat umum supaya tidak terjebak dalam aktiviti tidak bermoral itu,” katanya.

Kajian menunjukkan ada pelbagai faktor yang membuatkan seseorang, khususnya mereka yang mempunyai kuasa, terbabit dalam rasuah.

Antara alasan yang sering didengar ialah gaji kecil jika pelaku adalah penguat kuasa undang-undang, namun telah diatasi oleh kerajaan dengan meningkatkan kadar gaji minimum.

Namun amnya, ramai yang bersetuju isu rasuah bertitik tolak daripada pegangan agama dan integriti seseorang. Ditambah lagi gaya hidup masa kini, khususnya golongan muda yang bagaikan saling bersaing mempamerkan kemewahan hidup menerusi media sosial, hinggakan ada yang sanggup berhutang keliling pinggang.

Amini Amir melihat sikap materialistik itu membuka ruang kepada golongan muda untuk terjebak dalam kegiatan rasuah.

“Gaya hidup mewah ini membuatkan ada antaranya mula berhutang, dan keadaan bertambah parah apabila mereka gagal untuk melunaskan hutang sehingga terbabit dengan jenayah rasuah. Bagi mereka, rasuah dilihat sebagai satu punca ‘duit tepi’ yang boleh membantu mereka menyelesaikan hutang tersebut,” ujarnya.

Katanya, mungkin juga mereka terdorong terjebak rasuah apabila melihat budaya itu berleluasa dalam kalangan ketua mereka sendiri yang bagaikan kebal kerana tidak pernah ditangkap oleh SPRM, ataupun dibebaskan selepas ditahan.

Pensyarah di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berpandangan, ada keperluan untuk sikap “mengambil tahu hal orang” kembali diamalkan oleh masyarakat.

Budaya ini dilihat negatif, namun katanya, sikap sedemikian berpotensi mengekang rasuah daripada terus menular dalam sesebuah organisasi.

“Ada pekerja tidak berani melaporkannya (rasuah) kerana takut dibuang kerja dan dipulaukan rakan sekerja, sedangkan mereka perlu tahu kegagalan melaporkan kegiatan rasuah boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009.

“Jadi, lebih baiklah melaporkannya kerana mereka akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 selain bakal menerima ganjaran sebagai mengiktiraf usaha membongkar kegiatan jenayah rasuah tersebut,” katanya.

Ketika diminta mengulas tahap keberkesanan pendidikan antirasuah, Amini Amir berkata, silibus berkaitan rasuah dalam sistem pendidikan negara ketika ini perlu ditambah baik agar matlamatnya untuk melahirkan generasi muda yang holistik termasuk bertanggungjawab, berintegriti dan memiliki jati diri yang tinggi tercapai.

Beliau juga melihat ada keperluan menubuhkan Kadet SPRM di sekolah rendah dan menengah bagi memberi pendedahan yang meluas sejak awal tentang buruknya rasuah, selain meningkatkan integriti golongan muda.

“Cadangan ini pastinya dapat menjadi satu nilai tambah terhadap usaha proaktif pihak SPRM yang telah memasukkan elemen pendidikan antirasuah dalam buku teks Bahasa Melayu sekolah rendah Tahun lima berkuat kuasa 2021.

“Selain itu, kita juga boleh mengadakan aktiviti khas luar sekolah seperti lawatan ke penjara untuk mereka melihat sendiri banduan yang terbabit dengan rasuah bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahayanya rasuah,” katanya.

– BERNAMA -BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373