Tanjung Piai: PAS sokong jika MCA bertanding

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA BHARU: PAS akan menyokong jika Barisan Nasional (BN) meletakkan calon MCA pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata PAS akan mengambil amalan sama iaitu kerjasama seperti dilakukan pada PRK sebelum ini dengan BN.

“Kerusi Parlimen Tanjung Piai adalah milik BN (berdasarkan PRU-13), jadi keutamaannya mesti kepada BN. Cuma buat masa sekarang saya tiada maklumat lengkap sebab tidak berbincang apa-apa lagi.

“Apa yang boleh lihat, kerusi Parlimen Tanjung Piai itu (pembangkang) mempunyai potensi untuk menang jika undi PAS dan BN dicampur berdasarkan keputusan PRU-14 lalu.

“PAS sendiri tidak ramai yang mengundi di kawasan berkenaan, hanya 2,962 undi saja (PRU-14). Walaupun tidak besar jumlah undi, mungkin boleh bantu BN untuk menang,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat EXCO, di sini, hari ini.

PRK Parlimen Tanjung Piai yang juga PRK kesembilan selepas PRU-14, bakal menjadi medan ujian pertama bagi kerjasama UMNO-PAS selepas memeterai Piagam Muafakat Nasional pada 14 September lalu.

MCA juga menyokong muafakat itu.

SPR akan bermesyuarat pada 1 Oktober ini berhubung kekosongan luar jangka kerusi parlimen itu.

MCA dijangka mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) berhubung kekosongan kerusi itu, minggu depan.

Media sebelum ini melaporkan akar umbi MCA mahu parti itu meletakkan calon bertanding walaupun UMNO didakwa mula melobi untuk mendapatkan kembali kerusi itu daripada parti berkenaan.

Pada PRU-14, calon MCA yang juga penyandang kerusi Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng, tewas kepada Dr Md Farid Md Rafik, 42, dengan perbezaan 524 undi dalam pertembungan tiga penjuru, manakala calon PAS, Nordin Othman pula memperoleh 2,962 undi. -Bharian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373