Tawaran kerakyatan Indonesia, Dharma masih tunggu dan lihat

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Bekas ketua jurulatih pasukan hoki wanita negara Muhammad Dharma Raj Abdullah yang mencipta sensasi di Indonesia, mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung tawaran kewarganegaraan republik itu.

Pengarah teknikal pasukan hoki kebangsaan Indonesia berusia 53 tahun itu berkata beliau masih menanti tawaran rasmi setelah ditawarkan secara lisan oleh Federasi Hoki Indonesia sebelum Sukan SEA 2023 di Kemboja berlangsung, Mei lepas.

“Selepas terima tawaran rasmi baru saya boleh buat keputusan. Saya perlu menilai daripada pelbagai sudut secara teliti. Setakat ini saya terima sokongan (jadi rakyat Indonesia) daripada banyak pihak di sana.

“Saya difahamkan ada cara bagi membolehkan seseorang itu diberikan kerakyatan Indonesia antara yang lebih sinonim dengan bidang sukan adalah proses naturalisasi seperti pemain bola sepak dan bola keranjang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dharma Raj yang juga pengendali kedua-dua skuad hoki dalam dewan serta padang lelaki dan wanita Indonesia, berkata setakat ini tiada jurulatih luar diberikan kerakyatan Indonesia menerusi proses naturalisasi.

Beliau dilantik sebagai pengarah teknikal pasukan hoki kebangsaan Indonesia dengan kontrak hingga Disember 2025 pada Mac 2021 selepas 10 bulan memegang jawatan pengarah teknikal hoki Wilayah Jawa Barat.

Prestasi hoki Indonesia menunjukkan peningkatan mendadak sejak kehadiran Dharma Raj dan beliau membimbing pasukan dalam dewan lelaki republik itu mencipta sejarah merangkul emas sulung di Kemboja dengan menewaskan Malaysia di final.

– BERNAMA

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373