Tawaran Muhyiddin: Komen, kritikan penyokong UMNO, PH bakal pengaruhi keputusan – KJ

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin akan bertemu Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat berhubung pelawaan menjadi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU.

Khairy berkata, komen dan kritikan yang diterima daripada penyokong UMNO dan Pakatan Harapan (PH), bakal mempengaruhi keputusannya.

“BERSATU dan PAS tidak pernah bercakap perkara yang buruk mengenai saya tapi kalau tengok UMNO dan komen orang UMNO serta PH, ia bukan hanya kritikan biasa.

“Sebaliknya ada yang berbentuk peribadi, malah ia berlarutan hingga hari ini.

“Di tahap psikologi, ia mempunyai impak kepada apa yang akan saya lakukan atau mungkin tidak lakukan,” katanya dalam podcast ‘Keluar Sekejap’ yang dikendalikannya bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

Ketua ARMADA BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal diundang sebagai tetamu jemputan dalam sesi podcast berkenaan.

Menjawab soalan Shahril mengapa BERSATU mahukan KJ dan kenapa bekas Ahli Parlimen Rembau itu perlu menerima tawaran berkenaan, Wan Ahmad Fayshal berkata:

“Tidak ramai pemimpin anak muda yang terbukti berjaya dalam politik.

“KJ adalah salah seorang daripadanya dan sayanglah kalau kita tidak mendapatkan khidmat beliau untuk menabur bakti kepada negara hanya kerana kezaliman yang dibuat Presiden UMNO ke atas beliau.

“Kami di BERSATU tidak bersikap begitu. Kita tidak pernah menghukum bakat-bakat muda hanya kerana presiden yang takut untuk bertanding.

“Jadi KJ, anda dijemput untuk menyertai kami,” katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin menawarkan Khairy menjadi Ahli Pimpinan Tinggi BERSATU selepas mendapat persetujuan pimpinan parti yang lain.

Muhyiddin dilaporkan berkata, partinya mempunyai dua kekosongan jawatan berkenaan tanpa niat ‘mengumpan’ bekas Ahli Parlimen Rembau itu.

Januari lalu, Khairy dipecat daripada UMNO kerana didakwa bertindak bertentangan dengan kepentingan parti.

-Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373